
Pempengaruh dan atlet Muay Thai, Johan Ghazali atau mesra dipanggil Jojo, mencuri perhatian apabila berkongsi satu hantaran di Instagram Story yang memaparkan perbualannya dengan seorang individu yang mengajaknya berkolaborasi dalam sebuah podcast.
Menerusi tangkap layar tersebut, individu berkenaan menawarkan kerjasama bagi menghasilkan satu content collaboration. Namun, Jojo memilih untuk menolak tawaran itu secara baik kerana berpendapat konsep kandungan tersebut tidak memberi manfaat kepada penonton.
“Takpela bro, aku rasa macam content ini tak masuk akal. Bazir masa orang je. Kalau ada apa-apa sponsorship yang boleh beri faedah kepada orang tengok then ok. TQVM.”
Selepas itu, Jojo memuat naik beberapa video di Instagram Story yang menjelaskan pendiriannya terhadap trend kandungan yang disifatkannya sebagai “marketing sampah”.
Menurut Jojo, ramai pencipta kandungan hari ini terlalu mengejar perhatian sehingga sanggup menghasilkan drama atau gimik yang tidak memberi sebarang manfaat kepada penonton.
“Lagi sekali aku cakap, jangan bazir masa melayan marketing, melayan drama yang sampah. Masa kita dekat dunia ni sangat singkat. Daripada bazir masa tengok benda fake yang tak beri faedah, lebih baik buat benda lain.”
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa kewujudan content sedemikian hanya akan berterusan selagi masih mendapat perhatian daripada orang ramai.
“Selagi ada orang layan, selagi itulah ada orang yang akan buat marketing sampah macam ni. Sebab ramai yang terlalu senang terpedaya dengan benda macam tu.”
Lebih mengejutkan, Jojo berkata beliau tidak akan sesekali menghasilkan kandungan sedemikian walaupun ditawarkan bayaran yang lumayan.
“Tak kisahlah bagi aku lima juta, sepuluh juta, seratus juta atau seribu sekalipun, no way. Aku takkan buat marketing sampah macam ni.”
Menurut Jojo lagi, kepercayaan penyokong dan pengikutnya merupakan perkara yang paling penting. Justeru, beliau tidak mahu mengkhianati kepercayaan itu hanya demi mengejar tontonan atau keuntungan.
“Aku takkan bazir masa orang. Mungkin cara aku cakap agak kasar, tapi apa yang aku cakap ni semua dengan niat nak beri faedah kepada orang yang tengok.”
Di akhir perkongsiannya, Jojo sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya lebih bijak memilih kandungan yang ditonton kerana tanpa sokongan penonton, trend content berunsur gimik dan “marketing sampah” tidak akan terus mendapat tempat di media sosial.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.