
Pelakon dan pelawak terkenal, Jim Carrey atau pemilik nama sebenar James Eugene Carrey baru-baru ini kembali mencuri perhatian ramai apabila tampil menepis dakwaan liar yang mendakwa dirinya digantikan ‘penyamar’ ketika menghadiri Anugerah Cesar 2026 di Paris pada 26 Februari lalu.
Hal itu susulan kehadirannya ke majlis berprestij berkenaan bagi menerima Anugerah Cesar Kehormat yang sepatutnya menjadi momen penghargaan terhadap legasi seninya, namun bertukar kecoh apabila wujud teori konspirasi di media sosial mendakwa individu di atas pentas bukan dirinya yang sebenar.
Dalam pada itu, bagi menjernihkan keadaan, wakil publisiti beliau, Marleah Leslie, mengeluarkan kenyataan rasmi kepada media hiburan antarabangsa seperti Rolling Stone dan Page Six.
“Jim Carrey menghadiri Anugerah Cesar, di mana beliau menerima Anugerah Cesar Kehormat,” katanya.
Kenyataan ringkas namun jelas itu sekaligus menafikan dakwaan kononnya pelakon berusia 64 tahun itu digantikan individu lain, memakai topeng prostetik atau lebih ekstrem lagi, ‘diklon’ seperti yang tular di media sosial.
Menurut Ketua Delegasi Umum Anugerah Cesar, Gregory Caulier turut menyifatkan spekulasi tersebut sebagai tidak berasas dan tidak sepatutnya menenggelamkan kepentingan majlis berkenaan. Tambah beliau, kehadiran Carrey telah dirancang sejak musim panas tahun lalu dan pelakon itu mengambil masa berbulan-bulan membuat persediaan termasuk berlatih menyampaikan ucapan dalam bahasa Perancis.
Jelasnya, Carrey hadir bersama keluarga dan rakan terdekat termasuk pengarah Michel Gondry, sekaligus mengukuhkan bahawa individu di pentas itu sememangnya beliau. Selain itu, usahanya menyampaikan ucapan penuh dalam bahasa Perancis turut menerima pujian daripada pihak penganjur.
Spekulasi berkenaan tercetus apabila segelintir pengguna media sosial mendakwa perubahan pada wajah, ekspresi serta tona suaranya kelihatan berbeza. Faktor beliau jarang muncul di khalayak umum selain gaya lebih tenang dan formal berbanding persona komedinya sebelum ini turut menyumbang kepada persepsi tersebut.
Pada masa yang sama, perkongsian artis transformasi, Alexis Stone, yang memuat naik kandungan menyerupai wajah Carrey juga dilihat lebih mengeruhkan keadaan.
Walau bagaimanapun, di sebalik kontroversi itu, Carrey tetap diraikan dalam suasana penuh emosi apabila beliau menyentuh tentang susur galur keturunannya dari Saint-Malo serta memberikan penghormatan kepada mendiang bapanya.
Penganjur juga menyifatkan kemunculannya sebagai detik bersejarah yang menutup mulut spekulasi dan mengangkat kembali fokus kepada sumbangan besarnya dalam industri perfileman antarabangsa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.