Berita

Jodoh Di Usia 72 Tahun, Legenda Harimau Malaya Nikahi Gadis Berusia 20-an

Share

Orang kata kalau dah jodoh, beza usia mahupun waktu bukanlah penghalang untuk dua hati disatukan.

Itulah yang berlaku kepada legenda bola sepak negara, Datuk Abdah Alif apabila teka-teki mengenai status perkahwinannya akhirnya terjawab selepas beliau dilaporkan selamat mendirikan rumah tangga pada usia 72 tahun.

Berita gembira tersebut disahkan sendiri oleh adiknya yang juga bekas pemain kebangsaan, Datuk Yunus Alif, selepas foto Abdah bersama pasangan pilihan hatinya mula tersebar dan mencuri perhatian di media sosial.

Difahamkan, pasangan Abdah berusia lingkungan 20-an.

Datuk Abdah Alif Selamat Bernikah Pada 27 Ogos

Menurut Yunus, abangnya selamat melangsungkan pernikahan pada 27 Ogos lalu di Kuala Terengganu dan paling penting, penyatuan mereka mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga.

“Alhamdulillah mereka baru saja nikah pada 27 Ogos lalu. Kedua-dua keluarga bersetuju jadi tak ada masalah. Kita doakan agar mereka berdua berbahagia.

“Mungkin sekarang tengah berbulan madu. Sebab itu tak angkat panggilan. Betul mereka dah nikah, dan kita doakan terbaik buat mereka berdua,” katanya.

Yunus turut menitipkan doa agar rumah tangga pasangan berkenaan terus dilimpahi kebahagiaan dan berkekalan hingga ke akhir hayat.

“Semoga mereka bahagia dan kekal hingga ke Jannah,” katanya.

Pengesahan itu sekali gus menjawab persoalan dalam kalangan peminat selepas foto perkahwinan bekas pemain bola sepak tersebut mula mendapat perhatian ramai di media sosial.

Perkhabaran mengenai perkahwinan Datuk Abdah Alif itu turut mencuri perhatian kerana beliau merupakan antara nama yang cukup dikenali dalam sejarah bola sepak negara. Selepas sekian lama tidak menjadi tumpuan mengenai kehidupan peribadinya, berita perkahwinan tersebut pastinya menjadi satu perkhabaran yang menggembirakan buat mereka yang mengikuti perjalanan bekas pemain kebangsaan itu.

Datuk Abdah Alif Legenda Bola Sepak Negara

Buat generasi muda yang mungkin kurang mengenali figura ini, Abdah bukan calang-calang nama dalam arena bola sepak tanah air.

Datuk Abdah Alif merupakan antara pemain yang mewarnai era kegemilangan bola sepak Malaysia sekitar penghujung 1970-an dan awal 1980-an selain pernah menyarung jersi Pahang dan skuad kebangsaan.

Malah, Abdah merupakan sebahagian daripada generasi Harimau Malaya yang berjaya melayakkan Malaysia ke Sukan Olimpik Moscow 1980 secara merit selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi penentuan.

Kejayaan tersebut kekal menjadi antara detik penting dalam sejarah bola sepak Malaysia. Ia juga meletakkan generasi pemain ketika itu dalam kelompok nama yang terus dikenang peminat bola sepak tanah air sehingga hari ini.

Ketika itu, beliau beraksi bersama barisan nama besar bola sepak negara termasuk Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh dan Datuk Jamal Nasir Ismail.

Generasi Harimau Malaya Ke Olimpik Moscow 1980

Pencapaian Datuk Abdah Alif bersama skuad kebangsaan pada era berkenaan menjadi sebahagian daripada sejarah istimewa Harimau Malaya. Malaysia ketika itu berjaya mendapatkan tiket ke Olimpik Moscow menerusi kelayakan secara merit, sesuatu yang terus disebut apabila mengimbau zaman kegemilangan bola sepak negara.

Bagaimanapun, impian skuad negara untuk beraksi di pentas Olimpik tidak kesampaian apabila Malaysia mengambil keputusan memboikot temasya berkenaan susulan pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Walaupun tidak berpeluang beraksi di Moscow, pencapaian barisan pemain negara dalam kempen kelayakan berkenaan tetap menjadi sebahagian daripada sejarah bola sepak Malaysia. Generasi tersebut berjaya membuktikan kemampuan skuad negara bersaing untuk mendapatkan tempat di pentas sukan terbesar dunia.

Selepas puluhan tahun dikenali menerusi pencapaiannya di atas padang, kini Datuk Abdah Alif kembali menjadi perhatian ramai atas perkhabaran bahagia dalam kehidupan peribadinya.

Daripada kisah perjuangan bersama Harimau Malaya sehinggalah berita perkahwinannya pada usia 72 tahun, nama bekas pemain kebangsaan itu sekali lagi menjadi bualan. Kali ini bukan kerana aksi di atas padang, tetapi kerana satu fasa baharu dalam kehidupan peribadinya.

Apa pun, tahniah buat pasangan pengantin baharu. Semoga ikatan yang dibina terus bahagia dan berkekalan.

Sumber : Harian Metro

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Darwisy