Berita

Jerebu Berpotensi Jadi Lebih Teruk, Dijangka Berlarutan Hingga Tahun Depan

Share

Terbaru, masalah jerebu yang melanda negara dijangka berlarutan hingga awal tahun depan susulan keadaan cuaca panas dan kering yang berterusan, selain peningkatan risiko pembakaran terbuka di beberapa kawasan. Situasi itu dijangka menjadi lebih mencabar sekiranya keadaan cuaca kering berpanjangan tanpa menerima taburan hujan yang mencukupi.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, fenomena El Nino yang sedang berlaku turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada keadaan tersebut, dengan fenomena berkenaan dijangka mencapai tahap lebih kuat pada penghujung tahun ini dan berpotensi berterusan sehingga awal 2027.

“Negara sedang berhadapan dengan El Nino kuat dan berpotensi mencapai tahap ‘Super’ (sangat kuat) bermula Oktober hingga Januari 2027,” katanya.

“Keadaan kering berpanjangan akan meningkatkan risiko berlaku kebakaran terbuka, terutama di kawasan mudah terbakar, sekaligus berpotensi memburukkan keadaan jerebu,” jelasnya lagi.

Menurut Datuk Seri Arthur, keadaan jerebu kali ini berpotensi mengambil tempoh lebih panjang untuk pulih berbanding situasi sebelum ini yang lazimnya berlaku sekitar satu hingga dua bulan. Cuaca yang semakin panas tanpa hujan yang mencukupi juga boleh menyebabkan keadaan sedia ada menjadi lebih buruk.

Dalam perkembangan sama, Malaysia bersedia membantu Indonesia menangani kebakaran hutan dan tanah yang menyumbang kepada pencemaran jerebu, khususnya di Kalimantan yang dilaporkan mempunyai lebih 1,400 titik panas. Bantuan yang ditawarkan termasuk operasi pemadaman kebakaran dari udara menggunakan helikopter, pesawat amfibi serta pelaksanaan operasi pembenihan awan (OPA).

Difahamkan, tawaran tersebut dibuat menerusi surat yang dikemukakan kepada Menteri Lingkungan Hidup Republik Indonesia pada 9 September lalu sebelum mendapat persetujuan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto. Bentuk bantuan akan diselaraskan bersama pihak Indonesia mengikut keperluan di lapangan, dengan penglibatan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, NADMA, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, MET Malaysia dan TUDM.

Pada masa yang sama, usaha menangani isu jerebu dan cuaca kering turut diperkukuhkan menerusi kerjasama serantau. Malaysia sebelum ini membawa perkara berkenaan ke peringkat ASEAN dengan menggesa negara anggota meningkatkan langkah pencegahan, pemantauan dan kesiapsiagaan bagi mengurangkan risiko kebakaran serta pencemaran jerebu merentas sempadan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagramTikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE