Berita

Janna Nick Selamba Akui Diri ‘Rempit’, Bangga Dengan Latar Belakang Kehidupan

Share

Pelakon dan penyanyi popular, Janna Nick, tampil berkongsi pandangannya mengenai persepsi masyarakat terhadap penampilan seseorang apabila secara terbuka mengakui dirinya sering dilabel sebagai ‘rempit’.

Menurut Janna, latar belakang keluarga dan persekitaran tempat seseorang membesar memainkan peranan besar dalam membentuk keperibadian mereka hari ini.

Menerusi satu perkongsian di platform Threads, pemilik nama penuh Nurul Jannah Muner itu berkata dia tidak melihat gelaran tersebut sebagai sesuatu yang negatif, sebaliknya menganggap ia sebahagian daripada perjalanan hidup yang membentuk dirinya.

“Saya terbaca satu hantaran tentang perempuan cantik ‘classy’ dan cantik ‘rempit’. Saya ini rempit, bukanlah minah rempit pergi berlumba malam-malam, tetapi sebab saya membesar di kampung.

“Umur 11 tahun saya sudah bawa motosikal. Pergi sekolah pun bawa motosikal sendiri bertahun-tahun. Saya juga pernah membesar di kawasan flat.

“Jadi memang tidak boleh lari daripada nampak ‘rempit’,” katanya.

Dalam pada itu, Janna turut menegaskan bahawa tidak semua individu berpeluang membesar dalam suasana serba mewah atau dianggap berkelas, sekali gus menolak stereotaip yang sering dikaitkan dengan penampilan luaran.

Jelasnya, sifat ‘classy’ bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat kerana ia banyak dipengaruhi oleh pengalaman hidup dan latar belakang seseorang.

“Saya cuma mahu cakap, bukan semua orang bernasib baik membesar dalam persekitaran ‘classy’.

“Dan ‘classy’ itu tidak boleh dibuat-buat. Kalau ‘rempit’ itu, rempit sahaja,” ujarnya lagi.

Perkongsian Janna itu hadir susulan perbincangan hangat dalam Threads mengenai kecenderungan sesetengah pihak mengkategorikan wanita berdasarkan penampilan sama ada ‘classy’ atau ‘rempit’.

Topik tersebut kemudiannya mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, dengan ramai yang berkongsi pandangan masing-masing mengenai persepsi masyarakat terhadap imej dan personaliti seseorang.

Bagaimanapun, terdapat juga segelintir pihak yang berpendapat bahawa label sebegitu tidak seharusnya dijadikan ukuran mutlak dalam menilai nilai seseorang individu, sebaliknya lebih menggambarkan persepsi dan tanggapan masyarakat semata-mata.

Hakikatnya, setiap individu mempunyai latar belakang dan perjalanan hidup yang berbeza, dan ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk meletakkan seseorang dalam kategori tertentu hanya berdasarkan penampilan luaran.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath