Gaya Hidup

Berlumba Dengan Masa, IKTBN Alor Gajah Tetap Tenang Beraksi Di Saringan Jalen Star Chef 2

Share

Saingan saringan ketiga Jalen Star Chef 2 terus hangat dengan penyertaan pelbagai institusi pendidikan dari seluruh negara. Kali ini, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah tampil mempertaruhkan tiga wakil berbakat dalam bidang kulinari yang hadir dengan pengalaman dan karakter berbeza di dapur pertandingan.

Menariknya, dua daripada peserta difahamkan sudah biasa menyertai pertandingan memasak sebelum ini, manakala seorang lagi baru pertama kali merasai tekanan sebenar dalam suasana pertandingan profesional. Namun, ketiga-tiga mereka berkongsi matlamat yang sama iaitu memberikan persembahan terbaik serta membawa nama IKTBN Alor Gajah ke peringkat lebih tinggi dalam Jalen Star Chef 2.

Cabaran Produk Jalen Beri Kelainan Buat Pertandingan

Bagi Muhammad Zarif Anuar, penyertaannya dalam Jalen Star Chef 2 merupakan kali ketiga beliau menyertai pertandingan memasak. Namun, menurut pelajar Diploma Penyajian Makanan itu, pertandingan kali ini hadir dengan kelainan tersendiri apabila para peserta perlu menghasilkan hidangan menggunakan produk-produk keluaran Jalen.

“Kelainan Jalen Star Chef 2 berbanding pertandingan yang pernah saya sertai sebelum ini adalah kami perlu menggunakan produk-produk Jalen dalam penyediaan hidangan. Jadi, kami perlu lebih kreatif dalam menghasilkan menu berasaskan produk tersebut,” katanya.

Selain itu, Zarif turut mengakui teruja apabila berpeluang berentap dengan peserta daripada pelbagai institusi yang mempunyai latar belakang dan kemahiran tersendiri. Dalam masa sama, beliau menganggap kehadiran kru produksi di sekitar dapur bukanlah satu gangguan besar walaupun pergerakan beliau sedikit terbatas ketika memasak.

Tambah beliau, sekiranya hanya seorang wakil IKTBN Alor Gajah berjaya mara ke Grand Finale, Zarif menegaskan mereka akan terus memberikan sokongan penuh menerusi sesi latihan dan perkongsian idea bagi memastikan wakil institusi mereka mampu memberikan persembahan terbaik.

Tempoh 45 Minit Jadi Cabaran Paling Mencabar

Berbeza pula dengan Muhammad Danish Razali yang sudah enam kali menyertai pertandingan memasak. Pengalaman luas yang dimiliki tidak menjadikan cabaran Jalen Star Chef 2 lebih mudah untuk diharungi.

“Saya rasa cabaran paling sukar adalah masa kerana sebelum ini saya pernah bertanding dengan tempoh satu jam, dua jam malah sehingga enam jam. Jadi bila kali ini hanya 45 minit, saya rasa agak pressure nak memasak,” jelasnya.

Menurut Danish, pengurusan masa menjadi aspek paling kritikal sepanjang pertandingan berlangsung. Tempoh yang singkat memerlukan peserta bekerja dengan lebih pantas tanpa mengabaikan aspek rasa dan persembahan hidangan.

Malah, beliau turut menyatakan kesediaan untuk membantu rakan sepasukan sekiranya tidak terpilih ke peringkat akhir. Baginya, pengalaman menyaksikan sendiri suasana Grand Finale tetap menjadi sesuatu yang ingin dirasai bersama-sama.

Pengalaman Pertama Yang Mendebarkan

Bagi Nuhshaqif Mikhael Abdul Halim pula, Jalen Star Chef 2 menjadi medan pertamanya dalam dunia pertandingan kulinari. Walaupun berdepan perasaan gementar, pelajar Diploma Penyajian Makanan itu tetap berusaha memberikan yang terbaik hasil daripada latihan yang dijalankan sebelum pertandingan.

“Bagi saya yang pertama kali masuk pertandingan seperti ini, awalnya memang saya nervous. Masa memasak 45 minit tadi pun saya rasa tak cukup sangat walaupun saya dah training sebelum ini,” katanya.

Menurut Nuhshaqif, persiapan yang dilakukan bersama rakan-rakan serta bimbingan pensyarah banyak membantu meningkatkan keyakinannya sebelum menyertai cabaran tersebut.

Semangat Berpasukan Jadi Kekuatan

Walaupun hadir dengan tahap pengalaman yang berbeza, ketiga-tiga wakil IKTBN Alor Gajah ini berkongsi matlamat yang sama iaitu mengharumkan nama institusi mereka dalam Jalen Star Chef 2. Semangat saling menyokong yang ditunjukkan membuktikan bahawa pertandingan ini bukan sekadar tentang persaingan individu, tetapi juga mengenai kerjasama dan persahabatan yang terjalin sepanjang perjalanan mereka.

Tiga IPT Sertai Saringan Ketiga

Untuk info, saringan ketiga JALEN Star Chef 2 telah melabuhkan tirai pada 4 Jun lalu dengan penyertaan tiga institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Teknologi MARA Puncak Alam, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah, dan Taylor’s University.

Pertandingan JALEN Star Chef kembali untuk musim kedua tahun ini dengan kerjasama antara Remaja dan produk Jalen bagi mencari lebih ramai bakat baharu dalam dunia kulinari dalam kalangan pelajar universiti.

Saringan pertandingan akan diadakan di tiga lokasi iaitu UiTM Dungun, UiTM Permatang Pauh dan UiTM Puncak Alam.

Persoalannya, adakah anda bintang yang dicari? Nantikan kemeriahan Grand Finale JALEN Star Chef 2 yang berlangsung pada 18 Jun ini!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE