
Berita penemuan selamat pendaki wanita, Jaslinda Saludin selepas dilaporkan hilang ketika mendaki di kawasan Gunung Batu Putih, Perak nyata melegakan banyak pihak.
Susulan perkembangan tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah menyalurkan sumbangan kepada keluarga sukarelawan Orang Asli yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebagai tanda penghargaan atas jasa serta pengorbanan mereka.
Menerusi perkongsian di media sosial, beliau meluahkan rasa syukur selepas menerima khabar bahawa Jaslinda telah ditemukan dalam keadaan selamat petang semalam.
“Alhamdulillah, saya bersyukur apabila menerima khabar mengenai Jaslinda Saludin yang dilaporkan hilang ketika mendaki di kawasan Gunung Batu Putih, Perak telah ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.
Menurut Zahid, kejayaan operasi SAR tersebut merupakan hasil kerjasama erat pelbagai pihak yang bertungkus-lumus membantu sepanjang usaha pencarian dijalankan.
Antara yang terlibat termasuk pasukan keselamatan, agensi penyelamat, sukarelawan serta masyarakat Orang Asli yang memainkan peranan penting dalam operasi berkenaan.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), termasuk pasukan keselamatan, agensi penyelamat, sukarelawan serta masyarakat Orang Asli yang bertungkus-lumus membantu sepanjang operasi ini dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan khusus kepada komuniti Orang Asli di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu dan Kampung Orang Asli Ampang Woh yang membantu sehingga membawa kepada penemuan Jaslinda dalam keadaan selamat.
“Saya turut merakamkan penghargaan khusus kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu dan Kampung Orang Asli Ampang Woh yang turut memainkan peranan sehingga membawa kepada penemuan Jaslinda dalam keadaan selamat,” katanya.
Sebagai menghargai jasa mereka, JAKOA turut menyalurkan bantuan kepada keluarga sukarelawan Orang Asli yang terlibat dalam operasi tersebut.
“Sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan mereka, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) turut menyalurkan bantuan kepada keluarga sukarelawan Orang Asli yang terlibat dalam operasi ini,” katanya.
Selain itu, Zahid turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama mendoakan agar Jaslinda terus diberikan kesihatan yang baik serta dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa bersama keluarga tersayang.
Terdahulu, pendaki wanita yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lalu, Jaslinda Saludin, 49, akhirnya ditemukan dalam keadaan selamat.
Mangsa ditemui di Kampung Lubuk Gaharu berhampiran Pos Musoh sebelum penemuan tersebut dimaklumkan oleh komuniti Orang Asli setempat kepada pihak berkuasa.
Perkembangan itu sekali gus menamatkan penantian pelbagai pihak yang mengikuti rapat operasi pencarian berkenaan sejak beliau dilaporkan hilang lebih dua minggu lalu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.