Jadi Mangsa Buli Siber, Kanak-Kanak Tangisi Kekalahan Jerman Bakal Terima RM155,000

Share

Perlawanan dua pasukan bola sepak gergasi di Euro 2020 baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila sekeping foto kanak-kanak menangis kerana kekalahan Jerman menentang England.

Foto tersebut menjadi tular di media sosial sehingga berlakunya buli siber terhadap ‘fangirl’ itu.

Terdapat individu-individu yang tidak bertanggungjawab meninggalkan komen ‘ejekan’ sehingga menyentuh isu perkauman.

Oleh yang demikian, seorang lelaki dari Wales telah berjaya mengumpulkan £27,000 (RM155,384) untuk kanak-kanak itu kerana telah menjadi mangsa buli siber.

Joel Hughes memulakan kempen pengumpulan dana dengan tujuan untuk menunjukkan bahawa tidak semua penduduk United Kingdom mempunyai sikap yang tidak baik, selepas gambar tular kanak-kanak itu menjadi subjek sindiran dan menerima kata-kata kesat daripada sebilangan penyokong bola sepak England.

Foto: soccer-blogger.com

Jumlah yang dikumpul itu jauh lebih banyak daripada sasaran awal iaitu £500 (RM2,877), namun sehingga kini dia masih belum dapat menghubungi keluarga kanak-kanak itu.

Walau bagaimanapun, Joel memaklumkan bahawa dia mempunyai maklumat dan berhubung dengan wartawan Jerman mengenai perkara tersebut.

Sekiranya tidak berjaya menemui keluarga kanak-kanak itu atau jika mereka tidak mahu menerima sumbangan tersebut, Joel akan mendermakan wang berkenaan kepada mana-mana organisasi berkaitan dengan anti buli siber.

Apa nak jadi dengan manusia sekarang ni? Kanak-kanak sekecil itu pun nak dibulinya. Harapnya adik itu tidak tahu ceritanya telah tular satu dunia.

Nak bermain media sosial itu tidak salah, tetapi janganlah kita sesuka hati meninggalkan komen atau kenyataan yang boleh mengguris hati pihak lain.

Sumber: (1)

IKLAN