Isteri Buat Pengecaman Mayat Suami, 2 Mangsa Maut Tanah Runtuh Di The Banjaran Hotsprings Dikenalpasti

Share

Malang tidak berbau!

Itu yang berlaku terhadap dua orang pelancong yang sedang menginap di sebuah resort pelancongan yang terkenal di kawasan gunung di Tambun, Ipoh, Perak iaitu The Banjaran Hotsprings Retreat apabila mereka ditemui maut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh pada awal pagi semalam.

Hari ini, hasil bedah siasat ke atas dua mayat mangsa tanah runtuh di sebuah resort pelancongan di Tambun di sini pagi semalam mendapati kematian berpunca daripada kecederaan akibat dihempap tanah serta tembok dinding.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata keputusan itu menjadikan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Polis klasifikasikan sebagai mati mengejut kerana hasil bedah siasat banyak menunjukkan kecederaan akibat dihempap dinding dan tanah…”

Mengulas lanjut, Asmadi berkata kedua-dua mayat mangsa yang berasal dari Kuala Lumpur dan datang ke Ipoh atas urusan kerja dituntut oleh waris masing-masing hari ini.

“Mayat mangsa lelaki dituntut oleh isterinya kira-kira pukul 10.45 pagi setelah pengecaman selesai manakala mayat mangsa wanita dicam dan dituntut oleh adik perempuannya pada pukul 11.20 pagi…”

Elak jumpa media
Bagaimanapun, usaha pengamal media yang menunggu ketibaan keluarga mangsa sejak pagi tadi untuk menemu bual mereka tidak berjaya berikutan kesemuanya enggan ditemui.

Pasukan penyelamat menemukan mangsa lelaki Ooi Chee Wei, 39, pada 9.55 pagi disusuli mangsa wanita Lee Tze Juin, 32, beberapa minit kemudian di sebuah unit di resort berkenaan selepas kejadian tanah runtuh pada kira-kira 1.30 pagi.

Menurut pihak Bomba, kejadian tanah runtuh itu berlaku setinggi 100 meter dan pergerakan air di atas bukit kemungkinan disebabkan hujan lebat beberapa hari ini.

Sementara, pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Perak memaklumkan berdasarkan pemeriksaan mendapati kawasan kejadian dikelilingi bukit batu kapur atas tanah baki yang ditumbuhi pokok, namun tanah itu menjadi lemah apabila terkena air hujan.

Apabila tanah semakin lemah, ia menyebabkan tanah runtuh hingga menimbus sebahagian daripada kawasan resort.

Sumber : Astro Awani

IKLAN