
Bagi sesetengah orang, satu beg mungkin sudah cukup untuk dibawa ke mana-mana. Namun bagi pempengaruh fesyen, Imanopie, pemilihan beg sebenarnya banyak bergantung kepada destinasi, keperluan dan gaya yang ingin ditampilkan pada hari tersebut.
Ditemui Remaja baru-baru ini sempena sambutan ulang tahun ketiga jenama fesyen tempatan, brïk, Imanopie berkongsi bahawa dia sendiri mempunyai pilihan beg berbeza mengikut occasion.
“Kalau pergi event, saya selalunya bawa beg kecil sahaja, macam top handle bag. Tapi untuk kegunaan harian, saya lebih suka shoulder bag yang besar sedikit sebab boleh muat semua barang.
“Jadi lain tempat saya pergi, lainlah beg yang saya gunakan. Memang ada banyak juga,” selorohnya.
Walaupun mengakui mempunyai koleksi beg yang agak banyak, Imanopie bagaimanapun cuba lebih berpada-pada apabila membeli beg baharu.
Ditanya berapa kerap dia akan menambah koleksi dalam tempoh sebulan, dia berkata kini cuba mengehadkan pembelian kepada sekitar sekali sebulan itu pun sekiranya benar-benar tertarik dengan sesuatu rekaan.
“Hopefully, maybe once a month. Saya cuba control sebab saya tak nak jadi seorang overconsumer,” katanya.
Pendekatan itu cukup relatable dengan realiti pencinta fesyen hari ini. Dalam lambakan trend dan koleksi baharu yang muncul silih berganti, membeli sesuatu yang benar-benar sesuai dengan personal style dan boleh digayakan berulang kali tentunya lebih berbaloi daripada sekadar mengejar trend.
Malah, pemilihan beg yang lebih teliti juga memberi ruang untuk seseorang benar-benar mengenali gaya sendiri. Daripada saiz dan bentuk sehinggalah warna, setiap pilihan boleh disesuaikan dengan kegunaan harian tanpa perlu sentiasa menambah koleksi hanya kerana sesuatu rekaan sedang trending.
Menariknya, selepas sekian lama selesa dengan beg dalam rona neutral, Imanopie kini mahu keluar sedikit daripada zon selesanya.
Menurutnya, koleksi sedia ada sudah dipenuhi dengan pilihan warna selamat. Jadi, dia mula melihat beg sebagai ruang untuk bereksperimen dengan warna yang lebih menyerlah.
“Saya biasanya memang suka neutral bags. Tapi sekarang saya rasa macam dah terlalu banyak beg neutral.
“So, let me experiment with different colours macam blue, pink atau purple. Ikut rasa dan mood,” kongsinya.
Dan mungkin sebab itu juga kehadirannya pada sambutan ulang tahun ketiga brïk terasa cukup kena dengan personal style-nya ketika ini.
Memasuki tahun ketiga penubuhannya, brïk yang diasaskan oleh dua beradik, Sabrina dan Syakira Ridzal terus mengembangkan identitinya sebagai antara jenama beg tempatan yang cukup sinonim dengan permainan warna.
Bermula sebagai sebuah passion project ketika pandemik, jenama tersebut kini telah mencatatkan jualan melebihi 100,000 beg sejak diperkenalkan.
Sempena ulang tahun ketiganya, brïk memperkenalkan koleksi terbaharu, Pattern Play yang membawa sisi lebih ekspresif berbanding penggunaan warna blok yang selama ini cukup sinonim dengan jenama berkenaan.
Koleksi 36 helaian itu mengetengahkan permainan corak, tekstur dan perincian menerusi tiga rekaan beg tangan baharu iaitu Posie, Pixie dan Sundae, selain beberapa aksesori termasuk pemegang kad Sundae serta dompet Colourblock Compact Pal.
Lebih menarik, ulang tahun kali ini turut menandakan langkah baharu buat brïk apabila jenama tersebut buat pertama kalinya memperkenalkan rangkaian pakaian.
Menerusi siri Cardi Knit, empat corak iaitu Polka Dots, Script, Stripes dan Pin diperkenalkan sebagai pilihan untuk mereka yang gemar menyuntik sedikit elemen playful dalam gaya harian.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.