
Menjadi seorang ibu tidak menghalang Nurhashimah Mohamad Haida untuk mengejar impian ke menara gading. Namun, niatnya itu sering kali dipandang rendah masyarakat yang masih mengehadkan kemampuan ibu hanya pada urusan rumah tangga dan menjaga anak, seolah-olah impian akademik menjadi perkara kedua.
Namun, dengan sokongan keluarga dan tekad yang kuat, beliau akhirnya berdiri megah di pentas konvokesyen dan dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik jurusannya.

Graduan Sarjana Kewangan dari Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini berkongsi pahit getir perjalanan akademiknya. Menurut Nurhashimah, detik awal yang membentuk kekuatannya berlaku sembilan tahun lalu semasa menamatkan pengajian sarjana muda di Amerika Syarikat (AS).
“Saya ingat lagi, sembilan tahun yang lepas pada musim sejuk, saya telah menamatkan pengajian Sarjana Muda dalam bidang mikrobiologi di AS.
Keluar saja dari dewan, saya berlari mencari anak saya pada ketika itu berusia tiga bulan, ya, saya menjadi ibu pada usia yang agak muda.

“Sebelum tamat pengajian lagi, saya sudah berfikir sama ada saya patut membesarkan anak sepenuh masa di rumah atau terus kejar cita-cita dalam kerjaya,” katanya mengimbas kembali detik penuh emosi itu.
Kini, selepas hampir sedekad menempuh fasa perkahwinan, kerjaya dan membesarkan tiga anak, momen bergelar graduan kembali muncul dan lebih bermakna apabila diraikan di hadapan keluarga dan suami tercinta.
Nurhashimah menegaskan, kejayaan ini bukan miliknya seorang sahaja. Beliau turut menzahirkan penghargaan khas buat suaminya yang dianggap sebagai tulang belakang utama sejak awal perjalanan di universiti.
“Encik suami yang menggalakkan saya terus ke hadapan, mencari apa yang saya minati, dia sentiasa menyokong idea gila saya bekerja sambil belajar dan pada masa sama membesarkan tiga orang anak.

“Kepada ibu dan abah, keraian dan kebahagiaan hari ini saya hadiahkan sepenuhnya begitu juga kepada mama dan ayah yang tidak pernah berhenti memberi bantuan,” katanya.
Dari kisahnya, jelas terbukti bahawa tiada apa yang mustahil untuk dicapai, walau pun bergelar ibu, selama ada tekad dan sokongan keluarga.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: FB IIUM
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

