
Bagi penyanyi muda Hussain Jamilul Hayat, soal memilih pasangan hidup bukan sekadar berkaitan penampilan fizikal mahupun gaya seseorang wanita.
Sebaliknya, pelantun lagu Takkan Pernah itu mengakui lebih menitikberatkan akhlak, keperibadian serta cara wanita pilihannya melayani dan menghormati ibu bapa.
Penyanyi berusia 23 tahun itu berkata, aspek fizikal bukan ukuran utama buat dirinya kerana karakter seseorang lebih memainkan peranan dalam menentukan keserasian.

“Saya sebenarnya ada tiga perkara sahaja penting bagi saya iaitu menghormati ibu bapa, selain mempunyai peribadi baik serta wajah cantik dan comel.
“Saya tidak kisah pasangan bertudung atau tidak. Paling penting, akhlaknya mesti cantik dan pandai menjaga serta menghormati ibu bapa. Itu paling utama.
“Selain itu, saya seorang lelaki dan mahu menjadi ‘gentleman’. Saya tidak suka perempuan cuba mengejar atau menguji saya. Biar saya sendiri mendekatinya,” katanya menerusi sebuah program temu bual.

Suka wanita sederhana, tidak terlalu menonjol
Dalam pada itu, Hussain turut berkongsi mengenai karakter wanita yang mampu menarik perhatiannya.
Menurutnya, dia lebih selesa dengan wanita yang tidak terlalu menonjolkan diri, sebaliknya mempunyai sisi tenang dan sederhana yang secara perlahan-lahan membuatkan dirinya tertarik.
“Kalau saya tidak sedar kehadiran dia, mungkin maksudnya belum ada rezeki.
“Saya suka perempuan berprofil rendah, tidak banyak menonjolkan diri, tetapi perlahan-lahan membuatkan saya sedar akan kehadirannya.
“Saya tidak suka perempuan terlalu menunjuk-nunjuk. Saya sendiri pun jenis tenang dan lebih selesa dengan perkara sederhana,” ujarnya.

Tunjuk kasih sayang melalui perbuatan
Bercerita mengenai caranya menunjukkan perhatian kepada seseorang wanita, Hussain mengakui dirinya lebih gemar membuktikan rasa sayang melalui tindakan berbanding kata-kata.
Malah, dia menyifatkan dirinya mempunyai sisi ‘abang-abang’ apabila meluangkan masa bersama wanita yang disukainya.
“Kalau keluar bersama saya, perangai saya sedikit seperti abang. Kalau pergi makan, saya akan ambilkan makanan untuk dia.
“Saya memang jenis suka menunjukkan perhatian melalui perbuatan. Kalau keluar dengan perempuan, saya akan anggap dia seperti adik sendiri dan cuba memastikan dia selesa,” jelasnya.

Pendirian mengenai tudung cetus reaksi netizen
Perkongsian Hussain mengenai ciri wanita pilihan itu turut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen, khususnya selepas dia secara terbuka mengakui bahawa pemakaian tudung bukanlah syarat utama dalam memilih pasangan.
Sebahagian pengguna media sosial melihat pendirian tersebut sebagai pandangan peribadi Hussain dalam soal mencari teman hidup, selain memuji penekanannya terhadap akhlak dan cara seseorang wanita menghormati keluarga.
Bagaimanapun, terdapat juga segelintir netizen yang berpendapat aspek pemakaian tudung tidak seharusnya dipandang ringan, terutama apabila melibatkan soal pemilihan pasangan dalam kalangan umat Islam.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!














