
Bintang Big Stage Rocketfuel, Hussain terus membuktikan dirinya sebagai anak seni yang versatil apabila diberi penghormatan menutup pertunjukan fesyen jenama EMRI di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026.
Kemunculan penyanyi muda itu sebagai model penutup bukan sahaja mencuri perhatian tetamu jemputan dan penggiat industri fesyen, malah turut mengukuhkan potensinya sebagai figura fesyen baharu yang semakin mendapat tempat dalam industri hiburan tempatan.
Penampilan Hussain di pentas KLFW 2026 menandakan debut pertamanya sebagai model dalam acara fesyen berprestij itu.
Tampil penuh yakin memperagakan rekaan terakhir koleksi EMRI, Hussain berjaya memukau hadirin dengan gaya catwalk yang kemas dan penuh karisma, sekali gus menjadi antara momen paling dinanti pada pertunjukan tersebut.
Pemilihannya sebagai model penutup turut dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap pengaruhnya yang semakin berkembang sejak menyertai program realiti Big Stage Rocketfuel, selain berjaya membina identiti tersendiri dalam dunia hiburan.
Tidak hanya menerima perhatian di lokasi acara, aksi Hussain di pentas peragaan turut menjadi bualan hangat dalam kalangan warganet selepas video penampilannya tular di media sosial.
Rata-rata memuji aura, keyakinan dan gaya catwalk yang dipamerkan, malah ada yang menyifatkan persembahannya setanding model profesional.
Selain itu, wajah tampan serta ketinggian dimiliki penyanyi muda itu turut dianggap sebagai pakej lengkap untuk bergelar model.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang menyifatkan Hussain sebagai seorang anak seni yang semakin menyerlah dan memiliki bakat dalam pelbagai cabang industri.
Malah, tidak kurang juga yang melabelkannya sebagai “tall, dark and handsome”, selain memuji versatilitinya yang mampu menyerlah bukan sahaja sebagai penyanyi, tetapi juga dalam dunia fesyen.
Dengan penampilan sulung yang mencuri perhatian di KLFW 2026, Hussain dilihat semakin mengorak langkah untuk mengembangkan lagi kariernya sebagai antara bakat muda yang berpotensi besar dalam industri hiburan tanah air.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.