Gaya Hidup

Harga Tiket Cecah RM1,000, Program Neelofa dan PU Haris Undang Pelbagai Reaksi

Share

Isu harga tiket program Neelofa dan PU Haris kembali menjadi perbualan hangat di media sosial apabila seorang pengguna Threads mempersoalkan nilai yang ditawarkan dalam program keagamaan tersebut.

Menerusi perkongsian itu, individu berkenaan meluahkan rasa terkejut apabila mendapati harga tiket bagi program bertajuk “Syurga Untuk Siapa?” boleh mencecah sehingga RM1,000.

“Tiket talk Neelofa sampai RM1000???? 🥲 Siapa yang pernah pergi. Berbaloi ke?” tulisnya, sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.

Difahamkan, program tersebut dijadualkan berlangsung pada 20 Jun 2026 di Royale Chulan Kuala Lumpur, sebuah lokasi yang sering menjadi pilihan untuk acara eksklusif dan bertaraf premium.

Faktor lokasi, suasana yang selesa serta pengisian program dipercayai antara sebab utama harga tiket program Neelofa dan PU Haris berada pada paras tersebut.

 

View on Threads

 

Reaksi Netizen Berbelah Bahagi

Menjengah ke ruangan komen, jelas wujud dua kelompok pandangan yang berbeza dalam kalangan netizen.

Golongan yang menyokong melihat harga tersebut sebagai satu bentuk pelaburan terhadap diri sendiri, khususnya dari sudut spiritual dan pembangunan dalaman.

“For me berbaloi je sis, kalau tiket konsert K-pop untuk 3/4 jam pakej berdiri panas pun beratus kena. Ni lagilah pengisian rohani dalam diri, duduk tempat aircond and tak crowded, so why not invest pada kelas macam ni,” kongsi seorang pengguna.

Bagi mereka, pengalaman menghadiri program keagamaan dalam suasana eksklusif serta peluang mendengar perkongsian secara langsung daripada penceramah terkenal memberikan nilai tersendiri.

Namun begitu, tidak kurang juga yang mempertikaikan harga tiket program Neelofa dan PU Haris yang dianggap terlalu tinggi dan tidak mampu diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Ada yang berpendapat bahawa program berunsur ilmu dan keagamaan sepatutnya lebih inklusif serta terbuka kepada semua, tanpa mengira latar belakang kewangan.

Perbincangan ini turut menyentuh isu sensitiviti apabila ilmu agama dilihat seolah-olah dikomersialkan pada harga premium.

Perdebatan ini secara tidak langsung membuka persoalan yang lebih besar dalam masyarakat sejauh mana nilai ilmu boleh diterjemahkan dalam bentuk harga?

Dalam dunia moden hari ini, banyak program pembangunan diri, motivasi dan keagamaan ditawarkan dalam pelbagai pakej harga. Ada yang percuma, dan ada juga yang eksklusif dengan bayaran tinggi bergantung kepada penganjur, lokasi dan pengisian.

Bagi sesetengah individu, ia mungkin dianggap sebagai pelaburan bermakna untuk memperbaiki diri dan mendalami ilmu agama. Namun bagi yang lain, ia dilihat sebagai sesuatu yang di luar jangkauan dan tidak praktikal.

Sumber : Threads nurfarheenmirza

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Darwisy