
Harapan rakyat Australia untuk melihat roket buatan tempatan pertama mereka dilancarkan dengan penuh gemilang terkubur apabila ia terhempas di utara Queensland.
Roket setinggi 23 meter bernama Eris itu hanya sempat berada di udara selama 14 saat sahaja selepas dilancarkan dari Bowen Orbital Spaceport.
Percubaa pertama Australia untuk melancarkan kenderaan orbit dari bumi mereka ini dibangunkan oleh syarikat Gilmour Space Technologies dan merupakan salah satu projek penting buat industri angkasa Australia dalam lebih 50 tahun.

Menurut Gilmour Space, kesemua empat enjin hibrid pada roket itu berjaya dihidupkan. Enjinnya sempat terbakar selama 23 saat dan terbang selama 14 saat sebelum ia terjatuh berhampiran tapak pelancaran.
Namun, tiada kecederaan atau kerosakan alam sekitar dilaporkan oleh media Australia.

Biarpun berdepan kegagalan, pakar dari Australia masih melihat percubaan roket mereka untuk meninggalkan pelantar sebagai satu kejayaan. Mereka percaya, kegagalan awal adalah sebahagian daripada proses untuk berjaya dan ia merupakan proses normal yang dilalui oleh setiap organisasi angkasa di dunia.
Difahamkan, Gilmour Space kini bersiap sedia untuk melancarkan roket kedua pula dalam tempoh beberapa bulan; seiring dengan sasaran mereka untuk meningkatkan kapasiti pelancaran kepada empat roket setahun dan seterusnya, 12 roket setahun.
SUMBER: (1)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
“You Touch You Go!” Datuk Asyraf Wajdi Beri Amaran Tegas Buat Pelaku Buli Di MRSM

Baru-baru ini, satu perkongsian tular di media sosial sehingga membuatkan ramai warga internet meluahkan rasa tidak puas hati apabila video memaparkan kejadian buli melampau di salah sebuah institusi MRSM.
Menerusi rakaman tersebut, jelas kelihatan seorang pelajar dikerumuni dan dikasari oleh sekumpulan rakan di dalam bilik asrama.
Situasi itu bukan sahaja menyayat hati, tetapi juga mengejutkan ramai pihak, terutama sekali apabila perkara yang terjadi ini melibatkan institusi pendidikan yang sepatutnya selamat untuk para pelajar.

Dalam pada itu, hal ini turut mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang lantang menyuarakan ketegasannya menerusi laman Facebook.
“Saya sudah minta pegawai saya siasat segera jika benar peristiwa ini berlaku di MRSM. Jika benar pelajar-pelajar ini adalah pelajar MRSM, tiada kompromi lagi, tindakan tegas pasti akan diambil,” tulisnya.
“Saya sudah mengingatkan banyak kali semenjak diberikan amanah menjaga MARA, ‘YOU TOUCH YOU GO!’ Tiada tempat untuk pembuli atau yang cuba membudayakan ‘BULI’ dalam apa jua bentuk di MRSM,” ujarnya.
@drasyrafwajdi Saya telah menerima laporan bahawa video yang tular sejak pagi tadi disahkan berlaku di salah sebuah MRSM di utara tanah air. MARA memandang serius insiden ini. Kita tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan buli, tidak kira siapa pelakunya. Sejak hari pertama saya diberikan amanah untuk menjaga MARA, saya sudah tegaskan: “YOU TOUCH, YOU GO!” Tiada ruang untuk pembuli. Tiada toleransi terhadap mana-mana pihak yang cuba membudayakan ‘BULI’ dalam apa jua bentuk di MRSM institusi yang sepatutnya menjadi medan melahirkan pemimpin masa hadapan negara. Kita akan pastikan tindakan tegas diambil. Buli bukan budaya kita. #YouTouchYouGo #TiadaTempatUntukPembuli #MRSMBebasBuli ♬ original sound – Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Menurutnya, MRSM bukan sekadar sekolah biasa, tetapi institusi untuk membina sahsiah, jati diri, dan masa depan anak-anak yang bakal menjadi pencorak negara.
Selain itu, ‘YOU TOUCH YOU GO!’ juga dianggap sebagai satu prinsip dan pendekatan MARA dalam membanteras budaya buli dalam institusi pendidikan mereka.
Jika terdapat sebarang elemen buli yang berlaku, ia adalah satu bentuk pengkhianatan kepada matlamat MARA yang selama ini berusaha melahirkan generasi pemimpin masa depan negara.
Sementara itu, MARA mengambil serius kejadian ini dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pelaku, tanpa mengira latar belakang atau status.
Sumber: Sinar Plus
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
“Suruh Cukur Bulu Anu” – Pelajar Praktikal Diaibkan, Lelaki Didakwa di Mahkamah

Seorang pembantu tadbir di sebuah pejabat kerajaan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas didakwa mengaibkan kehormatan seorang pelajar praktikal wanita dengan menyuruhnya mencukur bulu kemaluan miliknya.
Insiden yang berlaku pada awal April 2025 ini menimbulkan kemarahan ramai dan mengundang pelbagai reaksi, khususnya dalam kalangan anak muda yang melihat isu ini sebagai satu bentuk gangguan seksual yang sangat serius, apatah lagi dilakukan dalam persekitaran kerja rasmi.
Mangsa 23 Tahun Trauma
Tertuduh, seorang lelaki berusia 37 tahun yang bekerja sebagai pembantu tadbir, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa atas kesalahan mengaibkan kehormatan mangsa dengan menyuruh wanita berusia 23 tahun itu mencukur bulu kemaluannya di sebuah pejabat kerajaan pada jam 1.58 tengah hari, 4 April lalu.
Kes tersebut didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Minta Jaminan Lebih Rendah Kerana Tanggungan Keluarga
Menurut laporan Kosmo, pegawai pendakwa, Inspektor M. Alli Nangai, mencadangkan jumlah jaminan RM5,000 bagi tertuduh. Namun, peguam yang mewakili tertuduh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jumlah jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan dan menanggung isteri tidak bekerja serta tiga orang anak — salah seorang daripadanya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).
Selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat bahawa tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan, khususnya mangsa.
Tarikh 3 September 2025 ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Tempat Praktikal Ruang Belajar, Bukan Medan Gangguan
Bagi kebanyakan pelajar, menjalani latihan industri atau praktikal merupakan fasa penting dalam kehidupan. Ia bukan saja peluang untuk belajar selok-belok dunia pekerjaan, tetapi juga ruang untuk membina keyakinan dan pengalaman.
Namun, insiden seperti ini menunjukkan betapa mudahnya kuasa disalahgunakan. Apa yang lebih menyedihkan ialah mangsa masih muda dan baru nak menyesuaikan diri dalam suasana kerja namun terpaksa berdepan dengan tindakan memalukan yang boleh memberi kesan emosi jangka panjang.
Ini Bukan ‘Prank’, Ini Gangguan Seksual
Masih ramai yang menganggap tindakan seperti ini sebagai gurauan atau ‘prank’. Tapi realitinya, bila seseorang disuruh melakukan perkara menyentuh maruah dan tubuh badan, ia sudah dikira sebagai gangguan seksual.
Kita tak boleh biarkan perkara ini jadi budaya diam atau ditutup. Setiap pekerja, termasuk pelatih, berhak berada di tempat kerja yang selamat dan bebas daripada gangguan.
Isu ini bukan sekadar kes mahkamah. Ia cerminan betapa pentingnya hormat-menghormati di tempat kerja dan betapa perlu kita sebagai masyarakat peka terhadap bentuk gangguan sebegini.
BACA LAGI : Tertarik Dengan Disiplin Kehidupan Muslim, Pelajar Thailand Ini Memeluk Islam
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Hampir Sifar Peluang! Pelajar Dengan Rekod Keganasan Sekolah Tidak Layak Masuk Universiti Di Korea

Baru-baru ini, beberapa universiti terkemuka di Seoul, Korea Selatan dilaporkan mengambil pendirian amat tegas terhadap pemohon yang mempunyai rekod keganasan sekolah apabila data terbaru menunjukkan hampir kesemua pemohon dalam kategori ini gagal diterima masuk ke institusi pengajian tinggi elit.
Pendekatan ini sekaligus menjadikan peluang kemasukan bagi pelajar dengan rekod keganasan sekolah hampir sifar, terutamanya melalui laluan saringan awal yang sememangnya sangat kompetitif.

Data Permohonan Dedahkan Kadar Penolakan Tinggi
Berdasarkan data rasmi yang dikeluarkan pada 16 Januari lalu, seramai 3,273 pemohon dengan rekod keganasan sekolah memohon ke 170 universiti empat tahun di seluruh Korea Selatan. Kesemua pemohon ini dikenakan potongan markah dalam proses pemilihan sebagai sebahagian daripada dasar saringan yang ditetapkan.
Daripada jumlah tersebut, seramai 2,460 orang atau sekitar 75 peratus telah ditolak. Ini bermakna tiga daripada empat pemohon gagal melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, satu angka yang menunjukkan betapa besarnya impak penalti terhadap rekod disiplin pelajar.
Universiti Elit Seoul Hampir Tolak Kesemua Pemohon
Situasi ini didapati lebih ketara di universiti elit Seoul. Daripada 11 universiti utama termasuk Universiti Kebangsaan Seoul, Universiti Yonsei, Universiti Korea dan Universiti Hanyang, seramai 151 pemohon dikenakan potongan markah akibat rekod keganasan sekolah.
Namun begitu, hanya seorang sahaja yang berjaya melepasi saringan awal, manakala 150 pemohon lain ditolak, mencatatkan kadar penolakan hampir 99 peratus.

Beberapa Universiti Catat Penolakan 100 Peratus
Mengikut pecahan data, Universiti Yonsei dan Universiti Korea menolak kesemua pemohon yang dikenakan penalti markah, masing-masing melibatkan lima dan 12 individu. Universiti Sogang, Universiti Sungkyunkwan, Universiti Wanita Ewha, Universiti Chung-Ang, Universiti Pengajian Asing Hankuk serta Universiti Seoul turut merekodkan kadar penolakan 100 peratus.
Sementara itu, Universiti Kyunghee menolak 61 daripada 62 pemohon dengan rekod keganasan sekolah, manakala Universiti Kebangsaan Seoul memaklumkan bahawa tiada seorang pun pemohon dengan rekod sedemikian terlibat dalam saringan awal tahun ini.
Reaksi Media Sosial: ‘Karma’ Dan Pengajaran Sosial
Di media sosial, dasar tegas terhadap rekod keganasan sekolah ini menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai. Sebahagian pengguna menyifatkan tindakan universiti sebagai satu bentuk ‘karma’ terhadap pelaku keganasan semasa zaman persekolahan.
Tidak kurang juga yang berpendapat bahawa saringan seumpama ini wajar diperluaskan ke peringkat pekerjaan, dengan alasan bahawa rekod tingkah laku lampau mencerminkan nilai dan sikap individu dalam jangka panjang.

Dasar Selari Garis Panduan Kementerian Pendidikan
Untuk makluman, dasar ketat ini dilaksanakan selaras dengan garis panduan Kementerian Pendidikan Korea Selatan yang mewajibkan semua universiti mengambil kira rekod keganasan sekolah sebagai faktor penalti dalam proses saringan awal.
Tahap potongan markah yang dikenakan berbeza mengikut universiti dan tahap keseriusan kes. Malah, terdapat institusi yang mengenakan larangan sepenuhnya terhadap pemohon yang mempunyai rekod keganasan berat.

Rekod Berganda Tambah Risiko Penolakan
Sekiranya seseorang pelajar mempunyai lebih daripada satu rekod pelanggaran, penalti biasanya ditentukan berdasarkan kesalahan paling serius. Faktor ini secara langsung menjejaskan peluang kemasukan, terutamanya dalam sistem pemilihan yang sangat kompetitif.
Menurut pihak universiti, keputusan kemasukan lazimnya ditentukan oleh perbezaan satu atau dua markah sahaja. Oleh itu, pemohon dengan rekod keganasan sekolah hampir mustahil untuk bersaing dengan calon lain yang mempunyai rekod akademik dan disiplin bersih.
Dengan proses pemilihan kemasukan secara umum kini sedang berlangsung, jumlah pemohon yang ditolak atas alasan sama dijangka akan terus meningkat. Situasi ini sekaligus menghantar mesej jelas bahawa isu keganasan sekolah dipandang serius dan mempunyai implikasi jangka panjang terhadap masa depan akademik pelajar di Korea Selatan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

