
Kecekalan seorang ibu muda, Nurshafikah Abd. Manaf, 26, membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil bila seseorang itu benar-benar berazam untuk berjaya.
Walaupun berdepan cabaran kehamilan di penghujung pengajian, graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ini akhirnya berjaya menggenggam bukan satu, tapi dua anugerah tertinggi universiti sempena Majlis Idul Ilmi Konvokesyen ke-17 baru-baru ini.
Nurshafikah yang menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Risiko dan Takaful) diraikan dengan Anugerah Terbaik Fakulti Perniagaan dan Pengurusan (Pingat Al-Khawarizmi) serta Anugerah Khas Kecemerlangan Industri. Satu pencapaian yang cukup membanggakan!
“Ketika itu kesihatan saya tidak mengizinkan. Saya jawab soalan peperiksaan sekadar termampu tetapi tak sangka mampu merangkul dua anugerah khas,” ujarnya kepada pemberita.

Pada Januari lalu, ketika berada di semester akhir, Nurshafikah disahkan hamil. Dalam keadaan badan yang lemah dan alahan yang kuat, dia tetap menguatkan diri untuk menamatkan pengajian. Hasilnya, dengan CGPA 3.70 serta rekod tujuh semester berturut-turut sebagai pelajar dekan, segala usaha keras itu akhirnya membuahkan hasil.
“Saya tidak sangka mampu kekalkan keputusan cemerlang hingga ke semester terakhir. Semua ni saya anggap rezeki anak, hadiah daripada Allah SWT selepas usaha yang sungguh-sungguh,” katanya penuh syukur.
Semester terakhir menjadi detik paling mencabar buat Nurshafikah apabila dia perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai pelajar, isteri dan bakal ibu. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Mac tahun lalu dan suaminya, Hanis Mohd. Naim, 26, kini bekerja sebagai jurutera sambil melanjutkan pengajian peringkat ijazah secara separuh masa di UiTM.
“Suami memang banyak bantu dari segi kewangan dan semangat. Dia selalu pesan jangan berhenti separuh jalan, kongsinya lagi.
Menurutnya, suaminya bukan sahaja bekerja tetap, tetapi turut melakukan kerja sambilan sebagai pemandu e-hailing demi menampung perbelanjaan ketika Nurshafikah masih menuntut di universiti.
Lebih menyentuh hati, majlis konvokesyen kali ini menjadi detik paling manis dalam hidupnya apabila dia dapat membawa anak sulungnya yang baru berusia 30 hari untuk sama-sama meraikan kejayaan tersebut.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Utusan Malaysia
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

