
Pelumba sensasi negara, Hakim Danish Ramli baru-baru ini mencuri perhatian apabila berjaya menamatkan kemarau kemenangan Malaysia dalam saingan Moto3 selepas muncul juara Grand Prix (GP) Czech di Litar Brno, sekaligus menyaksikan Jalur Gemilang kembali berkibar megah di pentas perlumbaan dunia.
Dalam aksinya pada Ahad, pelumba berusia 18 tahun itu mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila berjaya merangkul kemenangan meskipun berdepan cabaran besar sebelum perlumbaan bermula.
Difahamkan, kejayaan tersebut menjadi lebih bermakna apabila Hakim Danish sebelum itu dikenakan penalti susulan insiden ketika sesi kelayakan kedua (Q2), menyebabkan kedudukan permulaannya merosot daripada petak kedua ke petak ke-14.
Walaupun bermula jauh di belakang kelompok hadapan, pelumba muda berbakat itu tidak membiarkan situasi tersebut menjejaskan fokusnya apabila tampil dengan tunggangan agresif serta penuh keyakinan sepanjang perlumbaan berlangsung.
Beliau kemudian memperagakan kematangan yang mengagumkan apabila berjaya memintas seorang demi seorang pencabar sebelum melintasi garisan penamat sebagai juara dengan catatan masa 33 minit 34.26 saat.
Sementara itu, pelumba Sepanyol, Brian Uriarte menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua selepas ketinggalan 0.466 saat di belakang Hakim Danish, manakala seorang lagi pelumba negara itu, Marco Quiles melengkapkan kedudukan podium dengan jurang 0.629 saat.
BACA: Hakim Danish Gegar Jerez, Raih Dua Podium Berturut-Turut & Ungguli Carta Piala Rookies MotoGP
Di samping itu, kemenangan sulung Hakim Danish musim ini turut mengakhiri penantian hampir sedekad buat Malaysia untuk kembali menikmati kejayaan dalam kelas Moto3 di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia.
Untuk rekod, kemenangan terakhir Malaysia dalam kategori berkenaan dicatatkan oleh Khairul Idham Pawi pada musim 2016 menerusi GP Argentina dan GP Jerman, sebelum Hakim Danish mencipta sejarah baharu menerusi kejayaannya di Brno.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.