From Zero To Hero, Nadhir Nasar Dinobat Sebagai Juara Hero Remaja 2020

Share

Selepas lebih kurang tiga tahun peminat menantikan siapakah yang akan dinobatkan sebagai Hero Remaja 2020 bagi menggantikan takhta yang dimenangi oleh Alif Muhaimin pada tahun 2017, ternyata tuah memilik kepada Nadhir Nasar pada malam ini.

Naib juara pula disandang oleh Umar Hisham yang berasal dari Johor Baharu, manakala Meerqeen berjaya menempatkan diri di tangga ketiga.

Tempat keempat dimenangi oleh Jabir Meftah dan tempat kelima jatuh kepada Haziq.

Sementara itu, Imran Aqil dipilih sebagai Hero Inspirasi berdasarkan undian daripada finalis-finalis Hero Remaja 2020 dan para juri. Ia dinilai berdasarkan semangat dan usaha Imran untuk memberikan inspirasi buat remaja di luar sana.

Dengan undian sebanyak lebih daripada 30,000, Aniq Suhair dipilih menjadi Hero Confident NIVEA Men pilihan peminat. Undian dilakukan di laman web remaja.my sejak episod pertama Hero Remaja 2020 ditayangkan di televisyen dan ditutup pada jam 6 petang tadi.

Walaupun acara finale dilangsungkan dengan kawalan ketat terhadap Piawaian Prosedur Operasi (SOP), namun ia tetap berlangsung penuh meriah. Hanya seramai 50 orang penonton dibenarkan untuk menyaksikan siaran secara langsung di studio dan ia terdiri daripada penaja utama Hero Remaja 2020 iaitu NIVEA Men, pihak pengurusan dan para selebriti yang terdiri daripada alumni pencarian Hero Remaja terdahulu dan pencarian Dewi Remaja 2019.

IKLAN