Foto Miss Universe Malaysia 2017 Masih Terpampang Di Laman Web Rasmi, Ini Reaksi Selebriti & Pereka Fesyen

Share

 

Hanya disebabkan pendapat yang tidak masuk akal dan berbaur perkauman, kredibiliti Samantha Katie James, 25 terus tergugat apabila dia tidak henti-henti menerima kecaman dalam masa semalaman.

Isu yang dihadapi oleh juara pertandingan ratu cantik Miss Universe Malaysia 2017 ini bertitik-tolak selepas dia memuat naik kenyataan peribadi berkenaan pergerakan Black Lives Matter di Amerika Syarikat sekarang.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Samantha berbaur perkauman apabila model kacukan darah Cina dan Latina itu berpendapat masyarakat berkulit hitam di Amerika Syarikat seharusnya, “relaks dan mengambil insiden yang menyebabkan kematian seorang warga Amerika bernama George Floyd baru-baru ini sebagai cabaran yang boleh membuatkan komuniti mereka lebih kuat.”

Samantha kemudian menyambung lagi beberapa posting di Instagram Story dengan berkata masyarakat berkulit hitam seharusnya belajar daripada insiden ini memandangkan – err – mereka memilih untuk dilahirkan sebagai seorang yang bukan berkulit putih di Amerika.

Hasil daripada posting melampau itu, netizen Malaysia tidak teragak-agak untuk meminta penjelasan dan permohonan maaf daripada Samantha yang dilihat masih berdegil untuk menegakkan benang yang basah.

Setakat tengah hari tadi, lebih 15,000 orang telah menanda tangani petisyen agar Samantha melepaskan gelaran Miss Universe Malaysia 2017 kerana kenyataan tidak mencerminkan seorang role model yang sesuai dicontohi masyarakat.

Petisyen berjudul “Strip Samantha Katie James of her Miss Universe Malaysia Crown and Title” itu dimuat naik di laman web Change.org dan ia dilancarkan sejurus selepas pihak Miss Universe Malaysia Organization (MUMO) mengeluarkan kenyataan di media sosial.

Menurut mereka, Samantha tidak lagi terikat dengan MUMO sejak 2018 dan kenyataan yang dikeluarkan olehnya itu tidak seharusnya dikaitkan dengan persatuan itu.

Namun, netizen masih belum berpuas hati dengan kenyataan yang diberikan MUMO dan meminta agar gelaran sebagai Miss Universe Malaysia 2017 milik Samantha ditarik semula.

MUMO dalam komen balas berkata, “Pihak IT kami sedang mengusahakannya (di laman web mereka.”

*

Hasil tinjauan REMAJA di laman web MUMO, wajah dan biodata Samantha Katie James masih terpampang di kalangan para pemenang Miss Universe Malaysia sebelum ini.

Terlebih dahulu, bukan hanya netizen yang dilihat terkesan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Samantha. Malah, beberapa rakan selebriti dan pereka fesyen juga turut memberikan respon mereka terhadap isu ini.

Antaranya termasuklah penyanyi Yuna Zarai, pereka fesyen Jonathan Liang yang “kecewa” dengan Samantha dan juga pereka fesyen kegemaran Samantha, Brian Khoo yang memuat naik sokongannya terhadap sentimen anti-rasis; sekaligus menolak kenyataan Samantha walaupun ia tidak menjurus terhadapnya secara spesifik.

Malah, pelakon Malaysia yang kini popular di Amerika Syarikat iaitu Henry Golding turut kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan Samantha.

 

UPDATE : Tanda verification di akaun Instagram Samantha telah ditarik semula oleh pihak Instagram setelah ramai yang menghantarkan aduan.

IKLAN