Fattah Amin Dinobat Sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Di World Film Carnival (WFC) Singapore

Share

Sebelum ini filem Miimaland telah pun berjaya meraih anugerah bagi kategori Filem Seram Terbaik di AltFF Alternative Film Festival Spring 2021 di Toronto, Kanada dan terbaru, pelakon utamanya Fattah Amin pula dinobat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di World Film Carnival (WFC) Singapore 2021.

Menurut Berita Harian, kemenangan Fattah dimaklumkan oleh pihak pengurusan dan sebelum itu, ia telah diumumkan menerusi laman web WFC Singapore 2021.

Fattah yang ditemu bual juga berasa terkejut apabila melihat namanya tertera sebagai pemenang kategori Aktor Terbaik.

“Secara jujur, masih banyak lagi yang perlu saya belajar daripada bidang lakonan. Ini bukanlah yang terbaik,”

“Bagaimanapun, saya anggap kemenangan ini rezeki kerana ini adalah julung kali lakonan saya mendapat pengiktirafan peringkat di antarabangsa,” jelasnya.

Miimaland merupakan filem seram pertama lakonan Fattah dan dia sendiri mengakui bahawa watak Ariel yang dibawanya itu sangat berbeza dan memerlukan bermain dengan emosi.

“Ini adalah filem seram pertama lakonan saya. Cabarannya adalah bagaimana mahu bermain dengan emosi dan pemahaman terhadap sesuatu karakter itu.

“Selain itu, berikutan genre filem ini seram, kebanyakan penggambarannya dibuat pada waktu malam dan lokasinya dalam hutan.

“Gangguan mistik ketika penggambaran juga menjadi antara cabaran yang terpaksa dihadapi ketika membintangi filem ini,” katanya.

Fattah turut memuat naik berita kemenangan ini di laman Instagramnya dengan mengucapkan Alhamdulillah.

Isterinya, Fazura juga dilihat meninggalkan komen mengucapkan tahniah Fattah.

Tahniah sekali lagi kami ucapkan kepada Fattah Amin atas kemenangan ini.

Sumber: (1)

IKLAN