Hiburan

‘Ride or Die’ Jadi Buah Tangan Pertama Evan Selepas Tinggalkan Enhypen

Share

Bekas anggota Enhypen, Evan atau sebelum ini dikenali sebagai Heeseung sekali lagi mencuri perhatian baru-baru ini apabila mengumumkan tarikh rasmi debut solonya yang dinantikan para peminat selepas meninggalkan kumpulan itu pada awal tahun ini.

Menerusi sebuah perkongsian di Instagram miliknya, Evan atau nama sebenarnya Lee Hee-seung (25) memaklumkan bahawa beliau bakal melancarkan single digital sulung berjudul ‘Ride or Die’ pada 22 Jun, sekaligus membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya sebagai artis solo.

Pengumuman tersebut disambut meriah oleh peminat yang sebelum ini mengikuti perkembangan beliau bersama Enhypen. Dalam pada itu, ramai meluahkan keterujaan untuk melihat sisi baharu Evan selepas beliau memilih untuk bergerak secara solo.

Menurut agensinya, Belift Lab, ‘Ride or Die’ akan menampilkan dua buah lagu yang mengetengahkan karakter berbeza penyanyi itu. Salah satu lagu memperlihatkan imej yang lebih berani dan tajam, manakala sebuah lagi menyerlahkan sisi yang lebih tenang serta matang.

Lebih menarik lagi, Evan dilaporkan memainkan peranan besar dalam pembikinan projek berkenaan. Selain terlibat dalam penulisan melodi dan lirik, beliau juga menyumbang idea dalam aspek produksi serta pengarahan visual bagi memastikan karya tersebut benar-benar mencerminkan identiti sebagai seorang artis.

BACA: Heeseung ‘Rebrand’ Diri Jadi Evan, Buka Lembaran Baru Sebagai Penyanyi Solo

Sepanjang bersama Enhypen, Evan sememangnya dikenali sebagai antara anggota yang aktif dalam proses kreatif. Beliau sebelum ini pernah menyertai penulisan beberapa lagu kumpulan itu termasuk ‘Highway 1009’ yang dimuatkan dalam album studio ketiga mereka, ‘Romance: Untold’.

Selain itu, nama beliau turut tercatat dalam kredit lagu ‘Sleep Tight’ yang menjadi sebahagian daripada EP ketujuh Enhypen, The Sin: Vanish, sekaligus membuktikan bakatnya bukan sahaja sebagai penyanyi malah juga pencipta lagu.

BACA: “Kenapa Asyik Salahkan Saya?” Penerbit Muzik, El Capitxn Berang Dituduh Peminat Jadi Punca Heeseung Keluar ENHYPEN

Untuk rekod, Evan meninggalkan Enhypen pada Mac lalu bagi memberi fokus kepada kerjaya solo. Pada masa yang sama, beliau turut memperkenalkan identiti baharu dengan menggunakan nama pentas Evan, menggantikan nama Heeseung yang sinonim dengannya sejak debut pada tahun 2020.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram

Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE