Hiburan

Pelakon Eric Dane Atau ‘McSteamy’ Dalam Grey’s Anatomy Meninggal Dunia Akibat Penyakit Tiada Penawar

Share

Pelakon, Eric Dane yang popular menerusi lakonan sebagai Dr. Mark ‘McSteamy’ Sloan dalam drama bersiri Grey’s Anatomy dilaporkan meninggal dunia pada usia 53 tahun hari ini.

Dane, 53 berdepan dengan penyakit Amyotriphic Lateral Sclerosis (ALS) yang juga dikenali sebagai penyakit Lou Gehrig yang diketahui ramai masih belum mempunyai rawatan penawar.

Pelakon, Eric Dane.

Kurang dari setahun lalu, Dane mengambil keputusan untuk berkongsi mengenai perkembangan kesihatannya dan sejak itu, beliau banyak melibatkan diri dalam kempen kesedaran mengenai penyakit tersebut.

Paling meninggalkan kesan di hati peminatnya adalah apabila Dane mengaku berasa marah dengan takdir yang menimpanya menerusi program Good Morning America.

Kata Dane, nyawa ayahnya sendiri ‘dirampas’ akibat perbuatan membunuh diri ketika dia berusia tujuh tahun dan kini, nyawanya pula ‘dirampas’ daripada dua orang anak kecilnya, Billie dan Georgia ketika mereka kecil akibat penyakit ALS.

Eric Dane bersama barisan pelakon Grey’s Anatomy pada tahun 2022.

ALS Tiada Penawar

Sebagai info, ALS merupakan penyakit neuron motor (MND) yang menjejaskan sel saraf di otak dan saraf tunjang yang mengawal pergerakan otot.

Antara simptom yang dirasai oleh pesakit termasuklah kehilangan upaya untuk makan, berjalan, bercakap dan bernafas secara beransur-ansur.

Sehingga kini, masih belum ada rawatan penawar yang diketahui boleh memulihkan ALS sepenuhnya, sebaliknya rawatan berterusan sekadar membantu menguruskan gejala yang dirasai pesakit dalam tempoh 3-10 tahun sebelum mereka menghembuskan nafas terakhir.

Keluarga Bersama Dengan Eric Dane Hingga Saat Terakhir

Menerusi kenyatan rasmi keluarga Dane, mendiang telah menghabiskan hari-hari terakhirnya bersama isteri, dua orang anak perempuan dan rakan rapat.

“Dengan berat hati, kami memaklumkan bahawa Eric Dane meninggal dunia pada petang Khamis selepas bertarung dengan cukup berani melawan ALS.

“Beliau akan sentiasa dirindui dan dikenang dengan penuh kasih sayang. Eric menyayangi peminatnya dan sentiasa berterima kasih di atas sokongan yang diterimanya.”

Pelakon asal Grey’s Anatomy, Ellen Pompeo dan Sandra Oh bersama Eric Dane dan isterinya, Rebecca Gayheart (dua dari kanan).

BACA: Valentino Garavani Meninggal Dunia, Legenda Adibusana Ikonik Pergi Buat Selamanya

BACA: Bruce Leung Siu-lung, ‘Sifu Kodok’ Kung Fu Hustle Meninggal Dunia Pada Usia 77 Tahun

Pelakon Yang Disayangi Peminat

Sebagai info, Dane yang berasal dari San Francisco mengahwini pelakon dan model, Rebecca Gayheart dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan.

Menerusi drama Grey’s Anatomy yang memahat nama Dane sebagai seorang pelakon televisyen terkenal, beliau melakonkan watak Dr Mark Sloan yang juga dikenali dengan gelaran ‘McSteamy’.

Baru-baru ini, Dane kembali diperkatakan apabila membintangi satu lagi drama bersiri popular, Euphoria sebagai Cal Jacobs. Selain siri televisyen, Dane turut terlibat dalam naskah filem-filem popular termasuklah filem Burlesque, Marley & Me dan Valentine’s Day.

SUMBER: BBC

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ