Enggan Tiru Mira Filzah Atau Neelofa, Mira Nazir Makin Selesa Jadi Pengacara Infiniteen

Share

 

Bagi mana-mana selebriti remaja yang baru ingin menapak dalam industri hiburan, tentunya mereka akan berbekalkan tunjuk ajar daripada pasukan produksi dan merujuk kepada selebriti yang terdahulu.

Maklumlah, mereka masih hijau dan belum lagi mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing. Situasi ini tidak terkecuali bagi pengacara program bual bicara remaja, Infiniteen.

Sumber foto: Instagram @miranzr

Shamira Izzati binti Nazir atau lebih mesra dengan panggilan Mira Nazir mengakui dia turut melakukan rujukan kepada beberapa selebriti tempatan yang berjaya menempa nama sebagai pengacara di Malaysia, sebelum bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai salah seorang pengemudi program tersebut.

“Untuk memulakan sesuatu itu, saya percaya kita perlu mempunyai titik rujukan. Jika di sekolah pun kita merujuk kepada buku teks. Jadi saya tak rasakan ianya salah untuk merujuk kepada pengacara popular seperti Neelofa dan Mira Filzah.

“Umpamanya seperti Neelofa yang terkenal menerusi program MeleTop. Saya tidak hanya melihat kepada klip episod daripada 2019 dan 2020. Sebaliknya, saya bandingkan semula cara pengacaraan beliau dari klip episod terawal di MeleTop. Dari situ, saya nampak bagaimana beliau memperbaiki teknik sebagai pengacara dari semasa ke semasa.

(Dari kiri) : Pengacara yang bijak seimbangkan populariti & kredibiliti, Neelofa & Mira Filzah.

“Sementara itu, saya secara peribadi menggemari cara ‘calm & collected’ Mira Filzah. Cuma kebanyakan daripada tugasannya sebagai seorang pengacara tidak berbentuk live show seperti program Infiniteen,” kata Mira.

Tambah pemenang tempat keempat pencarian Dewi Remaja 2019 itu, tindakan membuat rujukan tidak bermaksud ingin meniru bulat-bulat dan menjadi seperti Neelofa ataupun Mira Filzah. Dia lebih tertarik dengan teknik interaksi 2 orang pengacara tersebut agar mudah ‘blend in’ bersama tetamu jemputan mereka.

 

Peluang Keemasan

Untuk pengetahuan korang, Infiniteen merupakan sebuah program bual bicara mengenai topik-topik yang melibatkan remaja di Malaysia. Menerusi tetamu jemputan berinspirasi yang diketengahkan oleh Infiniteen pada setiap minggu, Mira sendiri merasa dirinya dapat mempelajari sesuatu daripada mereka.

“Ada di antara mereka yang menjana pendapatan lumayan dengan menjadi tauke kosmetik. Ada yang sudah menjadi penari di peringkat antarabangsa. Setiap kali tiba giliran saya sebagai pengacara mingguan, saya menjadi semakin bersemangat untuk berjaya setelah mendengar kisah kejayaan masing-masing.

Sumber foto: Instagram @miranzr.

“Bukan itu saja, saya juga berterima kasih kepada teman pengacara saya seperti Jay, Akhmal, Aisyah dan Justin yang sudah terlebih dahulu makan garam dalam dunia pengacaraan. Mereka tenang saja di set dan memberikan vibe menyeronokkan,” jelasnya lagi.

Infiniteen bersiaran setiap hari Isnin, jam 9.00 malam di saluran TV Okey.

Sekiranya Mira kini bergelar pengacara setelah menamatkan musim Dewi Remaja 2019, Shatira Amanda pula khabarnya baru bergelar pelakon menerusi drama pertamanya di samping Fauziah Nawi, Azhan Rani dah ramai lagi.

 

IKLAN