
Pelakon, Elisya Sandha tampil mempertahankan tindakan kakaknya, aktres Fasha Sandha, yang sebelum ini lantang menegur sikap seorang pelakon yang didakwa sering lewat hadir ke lokasi penggambaran sehingga menjejaskan kelancaran proses produksi.
Menurut Elisya, sikap menepati masa adalah antara prinsip utama yang sentiasa diterapkan Fasha sepanjang bergelar anak seni. Baginya, setiap kelewatan bukan sahaja mengganggu jadual penggambaran, malah memberi kesan kepada kru produksi serta pelakon lain yang sudah bersedia di lokasi.
“Apa yang kakak saya buat adalah perkara yang betul sebab kita perlu hormat masa orang lain. Kita tidak boleh sesuka hati datang jam 10 pagi kalau call time jam 8 pagi. Bagi saya, itu memang kurang ajar.
“Itu yang saya belajar daripada kakak saya selama ini. Kita kena sentiasa jaga call time. Tidak kisah walaupun ada 10 orang anak, perkara itu tetap perlu diutamakan.
“Apabila ada pelakon datang lambat, ia akan mengganggu emosi pelakon lain kerana penggambaran yang sepatutnya tamat jam 6 petang boleh berlarutan sehingga jam 10 malam disebabkan kelewatan itu,” katanya.
Pelakon berusia 27 tahun itu berkata, dia turut berkongsi pendirian yang sama seperti Fasha apabila membabitkan soal disiplin di lokasi penggambaran.
Malah, Elisya mengakui dia tidak akan berdiam diri sekiranya ada individu yang tidak menghormati masa.
“Saya pun ada karakter seperti kakak saya. Kalau terpaksa menunggu terlalu lama, saya akan marah dan bising di set.
“Tetapi orang faham kenapa saya bertindak begitu kerana saya menghormati masa mereka, jadi mereka juga menghormati masa saya,” katanya.
Berkongsi pengalaman, ibu kepada dua cahaya mata itu mengakui sudah beberapa kali berdepan situasi pelakon lewat hadir ke lokasi. Namun, dia lebih selesa menyelesaikan perkara tersebut secara berhemah dengan bertemu individu terbabit.
“Saya sudah banyak kali melalui situasi itu. Cuma saya rasa suara saya belum cukup kuat untuk bercakap di media sosial.
“Kalau orang itu selalu sangat lambat, saya akan jumpa secara peribadi dan tanya kenapa dia lambat. Mereka akan jelaskan masalah yang dihadapi seperti ada urusan di rumah dan saya cuba faham serta berbincang.
“Tetapi untuk kes kakak saya, mungkin individu itu sudah ditegur berkali-kali, namun masih tidak berubah, sebab itu kakak memilih untuk bersuara di media sosial,” katanya.
Dalam pada itu, Elisya menegaskan teguran yang diberikan bukan bertujuan memalukan mana-mana pihak, sebaliknya sebagai peringatan supaya semua yang terlibat dalam sesebuah produksi lebih menghargai masa dan komitmen masing-masing.
“Selepas ditegur, ada pelakon yang pandang saya dari atas ke bawah seolah-olah mempersoalkan siapa saya untuk menegur mereka. Tetapi ada juga yang memberi penjelasan dengan baik.
“Bagi saya, apa juga reaksinya, saya terima. Yang penting, saya sudah menyatakan bahawa datang lambat ke set adalah satu kesalahan. Saya tidak akan berdiam diri.
“Kita bukan hanya perlu hormat masa pelakon, tetapi juga pengarah dan kru. Kasihan kepada kru kerana merekalah yang paling kurang tidur dan masih perlu mengemas peralatan selepas penggambaran selesai,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Elisya bakal menghiasi drama terbaharu arahan Eyra Rahman, Madu Atau Racun, yang dijadualkan menemui penonton menerusi platform iQIYI bermula 14 Ogos ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.