
Baru-baru ini, Elisa Chew atau nama penuhnya Nur Ezlin Elisa Binti Kamal Chew (21) melakar pencapaian tersendiri apabila dinobatkan sebagai Dewi Persahabatan Dewi Remaja 2025. Finalis kacukan Melayu-Cina ini mengakui kemenangannya amat bermakna kerana hadir daripada sokongan rakan-rakan seperjuangannya sendiri.
“Pada mulanya memang tak sangka pun… tapi bila nama dipanggil, saya rasa terharu sangat sebab kawan-kawan Dewi undi saya,” kongsinya ringkas, menyifatkan hubungan mereka sebagai sesuatu yang ingin dikekalkan walaupun pertandingan sudah melabuhkan tirai.
Elisa yang merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik berkata, antara detik paling meninggalkan kesan sepanjang pencarian tersebut ialah ketika sesi penggambaran montaj selama dua hari. Walaupun disediakan beberapa bilik untuk keselesaan, seluruh 12 peserta memilih untuk bercampur dan tidur sebilik demi mengukuhkan ikatan awal.

Menurut gadis yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu, momen bertukar pakaian, makan bersama dan berbual panjang pada hari pertama itu membuka ruang untuk mereka lebih selesa antara satu sama lain serta menyifatkan pengalaman tersebut menjadi bukti kukuh bahawa perjalanan Dewi Remaja bukan semata-mata tentang pertandingan, tetapi juga tentang persahabatan.
Selepas Dewi Remaja melabuhkan tirai, Elisa yang pernah muncul dalam program Ceria All Stars ini memasang impian untuk mendalami bidang lakonan. Mengakui dirinya masih baru, beliau berhasrat mengikuti kelas lakonan bagi menambah kemahiran sebelum terjun lebih jauh ke dalam industri.
Sebelum menyertai dunia seni, Elisa bukanlah remaja biasa. Sejurus tamat sekolah, beliau sudah mula bekerja, membuka kafe sendiri dan bertugas sebagai pemandu pelancong di sebuah syarikat komersial. Minatnya terhadap seni hadir sebagai satu cabang baharu yang ingin diterokai demi keluar dari zon selesa.

Tambahnya, Elisa berharap hubungan erat yang terbina antara peserta Dewi Remaja 2025 kekal utuh walaupun masing-masing bakal membina kerjaya sendiri selepas ini. Selain itu, Elisa juga sempat mengingatkan kembali nasihat pelakon dan juri Dewi Remaja 2025, Nabila Huda yang lebih mesra dipanggil Kak Abil, untuk sentiasa bersikap baik dan merendah diri, menjadi prinsip yang ingin dibawa sepanjang perjalanan karier.
Dengan personaliti ceria, latar belakang unik serta semangat mencuba sesuatu yang baharu, Elisa Chew dilihat berpotensi besar menjadi wajah segar dalam industri lakonan tempatan. Gelaran Dewi Persahabatan hanyalah permulaan buatnya dan jelas, gadis ini bersedia untuk melangkah lebih jauh.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!










