Berita

Malaysia Bakal Berdepan Cuaca Lebih Panas, El-Nino Dijangka ‘Melanda’ Tahun Ini

Share

Malaysia bakal berdepan cuaca lebih panas apabila fenomena El-Nino Malaysia dijangka kembali “mengganas” tahun ini. Pakar klimatologi memberi amaran bahawa dunia mungkin sekali lagi menghampiri rekod suhu tertinggi, didorong oleh gabungan fenomena El-Nino dan kesan berterusan pemanasan global.

Menurut Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim, Prof Emeritus Dr Fredolin Tangang, dunia sebelum ini sudah pun menyaksikan 2024 diangkat sebagai tahun paling panas dalam sejarah moden dengan peningkatan suhu sekitar 1.55 darjah Celsius.

Walaupun 2025 mencatatkan sedikit penurunan akibat pengaruh La Nina yang membawa kesan penyejukan sementara, trend keseluruhan masih menunjukkan bumi semakin panas, dengan tahun tersebut kekal antara tiga paling panas pernah direkodkan.

El-Nino Malaysia Dijangka Bermula Pertengahan Tahun

Apa yang lebih membimbangkan, ramalan terkini menunjukkan fenomena El-Nino Malaysia dijangka kembali aktif seawal pertengahan tahun ini, khususnya antara Julai hingga Ogos, sebelum memuncak menjelang hujung tahun dan berlarutan sehingga awal 2027.

Kebarangkalian kejadiannya juga bukan kecil dianggarkan melebihi 70 peratus pada peringkat awal dan boleh mencecah sehingga 90 peratus menjelang penghujung tahun. Ini menjadikan risiko gelombang haba semakin tinggi di rantau Asia Tenggara.

Dalam konteks tempatan, El-Nino Malaysia bukan sekadar istilah saintifik. Ia sering menjadi pencetus kepada cuaca panas melampau, dengan suhu boleh mencecah lebih 37 darjah Celsius, malah berpotensi menghampiri 40 darjah dalam keadaan udara kering dan kelembapan rendah.

Situasi ini bukan sahaja menjejaskan keselesaan harian, malah meningkatkan risiko kesihatan seperti strok haba, dehidrasi dan keletihan melampau.

Bagaimana El-Nino Berlaku?

Secara asasnya, fenomena ini berlaku apabila sistem semula jadi lautan dan atmosfera di Lautan Pasifik terganggu.

Dalam keadaan normal, angin perdagangan akan menolak air panas ke arah barat Pasifik, manakala air sejuk dari dasar laut naik ke permukaan di timur Pasifik.

Namun ketika El-Nino Malaysia berlaku, angin ini menjadi lemah. Proses “upwelling” turut berkurang, menyebabkan suhu permukaan laut meningkat dan seterusnya mengganggu corak cuaca global.

Menurut Dr Fredolin, tanda awal fenomena ini sudah mula dikesan di timur Lautan Pasifik apabila lapisan termoklin menunjukkan perubahan ketara. Jika trend ini berterusan, dunia berkemungkinan berdepan El-Nino yang kuat.

Kesan domino termasuk kemarau berpanjangan, peningkatan kebakaran hutan serta risiko jerebu yang lebih serius, khususnya di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Langkah Lindungi Diri Ketika Cuaca Panas

Dalam menghadapi El-Nino Malaysia, langkah berjaga-jaga sangat penting. Antara yang paling asas ialah memastikan pengambilan air mencukupi walaupun tidak merasa dahaga.

Selain itu, elakkan aktiviti luar antara tengah hari hingga lewat petang kerana suhu berada pada tahap tertinggi. Jika perlu keluar, gunakan pakaian longgar, berwarna cerah dan mudah bernafas.

Bagi yang memandu jauh atau bekerja di luar, pastikan bekalan air sentiasa ada dan jangan tinggalkan kanak-kanak atau haiwan dalam kenderaan walaupun seketika.

Pemakaian sunscreen juga penting untuk melindungi kulit daripada pendedahan UV yang tinggi. Jika mengalami simptom seperti pening, loya atau keletihan melampau, segera berehat di tempat teduh.

Sumber : Harian Metro

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Darwisy