Dua Gergasi MLBB Negara Siap Tempur Di Riyadh, SRG.OG & HomeBois Sasar Dominasi MSC 2025

Share

Dua wakil tanah air, HomeBois dan SRG.OG kini bersedia menggalas cabaran besar di pentas antarabangsa apabila bakal bertanding dalam kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Mid Season Cup (MSC) 2025 yang bakal berlangsung di Riyadh, Arab Saudi.

Kedua-dua pasukan ini membawa bukan sahaja nama pasukan masing-masing dalam e-sukan, malah kedua pasukan juga membawa semangat dan harapan seluruh rakyat Malaysia.

Menurut pengurus pasukan HomeBois, Glorial, pasukannya kini berada dalam fasa latihan intensif sebagai persiapan menghadapi MSC.

Glorial dari HomeBois

“Sudah pasti kita akan training tiga kali sehari. Selepas training, kita akan suruh player rank untuk tambah chemistry mereka dan juga master mereka punya hero power yang kita akan bawa,” katanya ketika ditemui pihak REMAJA.

Jelasnya lagi, pendekatan berstruktur ini dilihat penting bagi membina keserasian dalam kalangan pemain serta memastikan strategi yang dibina berada pada tahap optimum.

Amir Syafiq dari SRG.OG

Sementara itu, pengurus SRG.OG, Amir Syafiq turut berkongsi pendekatan sama dalam rutin harian pasukannya.

“Kami juga sama seperti HomeBois training 8 ke 11 jam sehari, enam hari seminggu. Jadi ada sehari untuk mereka berehat dan luangkan masa bersama keluarga,” kata Amir.

“Selain itu, kami juga ada sesi gym untuk kuatkan stamina dan fizikal mereka. Player juga ada internal aktiviti macam bonding date untuk mereka refresh dan rehatkan minda,” ujarnya lagi.

Pasukan Selangor Red Giants yang menjuari MPLMYS15 baru-baru ini

Pada masa yang sama, Amir menegaskan bahawa elemen fizikal turut memainkan peranan penting walaupun permainan ini dijalankan secara digital.

“Walaupun main game ini dalam telefon saja. Tapi yang menggerakkan badan dan pemikiran mereka untuk bermain itu adalah fizikal mereka sendiri. Jadi nak tak nak kami kena seimbangkan in game mental dan juga fizikal”

“Bila main tournament boleh jadi dari pagi sampai malam, jadi nak kena kuatkan fizikal juga sebab itu kami kena ada gym session,” tambahnya.

Menjelang kejohanan antarabangsa yang akan berlangsung tidak lama lagi, kedua-dua pasukan turut tidak terlepas daripada tekanan daripada para peminat bagi mendapat pencapaian yang lebih baik. 

“Kebanyakannya peminat akan bagi sokongan, macam sebelum ini mereka datang waktu game. Sekarang, ramai yang suka tinggalkan komen di media sosial untuk beri semangat,” kata Glorial.

Jelas Glorial lagi, tekanan sudah pasti ada tetapi mereka menganggap ia sebagai sesuatu hal yang baik bagi mencapai prestasi terbaik di pusingan antarabangsa sambil menyifatkan sokongan peminat sebagai motivasi positif.

SRG.OG
HomeBois

Dalam pada itu, Amir turut mengakui bahawa jangkaan tinggi daripada para penyokong turut menjadi cabaran utama buat SRG.OG.

“Tekanan boleh dirasakan dari segi ekspektasi orang ramai, mereka berharap kami mengulangi semula kejuaraan itu back to back. Akan tetapi kami SRG.OG secara dalaman akan cuba elakkan hal lain yang beri tekanan yang tak diperlukan,” jelasnya.

“Kami datang ke MSC nak jadi underdog and menang. Jadi bila menang nanti, barulah kami anggap kejuaraan ‘back to back’ itu sebagai bonus,” ujarnya.

Mengakhiri temubual, kedua-dua pengurus pasukan itu turut berterima kasih atas sokongan dan kata-kata semangat yang sentiasa diberikan kepada skuad e-sukan negara serta berjanji akan memberikan yang terbaik agar dapat terus membanggakan nama negara di persada antarabangsa.

MSC 2025 bukan sekadar pentas pertandingan, tetapi juga medan buat Malaysia membuktikan bahawa kita mampu bersaing setaraf dengan kuasa besar e-sukan dunia. Ayuh, Malaysia! Kita gegarkan Riyadh bersama SRG.OG dan HomeBois!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE