
Ketika ramai mula bersedia meniti usia persaraan, seorang lelaki berusia 59 tahun memilih jalan yang berbeza iaitu dengan kembali ke dunia akademik untuk memburu ijazah Doktor Falsafah (PhD) buat kali ketiga. Itulah kisah inspirasi Dr. Zamri Chik, yang membuktikan bahawa semangat menuntut ilmu tidak pernah mengenal usia mahupun batas.
Menerusi perkongsian di Facebook rasmi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 3 November, Dr. Zamri Chik berkata beliau mempunyai prinsip hidup yang dipegang sejak dahulu untuk terus menambah ilmu meskipun sudah menamatkan dua pengajian PhD di institusi yang sama.
“Belajar tidak ada warga emas,” tegas beliau.
Menurut Dr. Zamri Chik, minat yang mendalam terhadap ilmu dan hasrat untuk membantu pelajar lain menjadi motivasi utamanya menyambung pengajian. Beliau menjelaskan bahawa daripada pengalaman menyiapkan PhD keduanya, beliau banyak membantu pelajar menjalankan analisis kajian dan memberi tunjuk ajar dalam penyelidikan.
Menariknya, tujuan beliau bukan untuk mengejar nama atau gelaran, tetapi untuk memberi manfaat serta panduan kepada pelajar lain yang memerlukan bimbingan.
Bekas pegawai penyelidikan di Terengganu Strategic Integrity Institute (TSIS) ini juga mengakui bahawa setiap kali menamatkan pengajian, semangatnya untuk belajar semakin membara. Jika pada awalnya perjalanan PhD pertamanya penuh cabaran, kini Dr. Zamri Chik semakin yakin meneruskan pengajian dalam bidang Sains Politik kerana sudah memahami rentak dan keperluan dunia akademik.
Berbekalkan pengalaman luas sebagai pelajar pascasiswazah, Dr. Zamri Chik kini menjadi rujukan ramai pelajar, bukan sahaja dari Malaysia malah dari luar negara seperti Jordan, Nigeria dan Palestin. Beliau sering meluangkan masa membantu mereka memahami proses analisis kajian secara terperinci dan komited memberikan bimbingan sepenuhnya kepada sesiapa yang memerlukan.
Bapa kepada sembilan anak dan datuk kepada dua cucu ini turut menjadikan kecintaannya terhadap ilmu sebagai sumber inspirasi buat keluarga.
“Bila anak tengok ayah dia ada PhD, mereka pun terinspirasi nak ikut jejak sama. Walaupun umur hampir 60 tahun, saya masih rasa bertenaga sebab semangat nak belajar itu kuat,” ujarnya.
Sebelum ini, Dr. Zamri Chik memiliki latar akademik yang kukuh dengan Diploma Komputer Sains dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Ijazah Komputer Sains dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Sarjana Pendidikan dari Open University Malaysia (OUM). Kini, beliau sedang bersiap sedia untuk memulakan pengajian PhD ketiganya tidak lama lagi.
Menutup bicara, Dr. Zamri Chik menyifatkan bahawa selagi dikurniakan kesihatan dan kekuatan, semangat untuk menimba ilmu tidak akan pernah padam. Baginya, menuntut ilmu tidak mengenal usia, dan selagi beliau mampu serta berupaya membantu orang lain, usaha menambah ilmu akan diteruskan.
Kejayaan sebenar menurutnya bukan terletak pada jumlah ijazah yang dikumpul, tetapi pada semangat untuk terus berkembang dan memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling.
Sumber: FB Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.