Berita

Dibesarkan Dengan Bahasa Isyarat, Inspirasi Di Sebalik Emas Sukan SEA Afrina Balqis

Share

Kejayaan skuad e-sukan wanita negara merangkul pingat emas di pentas Sukan SEA bukan sahaja mencipta sejarah buat Malaysia, malah menjadi simbol pengorbanan, kasih sayang dan kekuatan seorang anak terhadap ibu bapanya.

Di sebalik kejayaan membanggakan itu, nama Afrina Balqis Ibdhi Har Ali atau lebih dikenali sebagai Rinamencuri perhatian apabila mendedikasikan kemenangan tersebut khusus buat kedua ibu bapanya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Membesar Dalam Keluarga Istimewa

Rina yang membesar dalam keluarga istimewa berkongsi bahawa dia telah mempelajari bahasa isyarat sejak kecil bagi memudahkan komunikasi dengan ibu dan bapanya.

Keadaan itu bagaimanapun tidak menjadi penghalang kepada impiannya. Sebaliknya, ia membentuk jati diri serta kekuatan mental dalam diri Rina sehingga berjaya berdiri sebagai seorang atlet e-sukan wanita di peringkat antarabangsa.

Pingat Emas Paling Bermakna

Buat Rina, pingat emas Sukan SEA yang dimenanginya dianggap sebagai hadiah paling bermakna buat ibu bapanya yang sentiasa menjadi sumber semangat sepanjang perjalanan karier e-sukannya.

Detik kepulangannya ke tanah air selepas kejayaan itu turut mengundang rasa sebak apabila kedua ibu bapanya hadir di lapangan terbang untuk menyambutnya dengan penuh tawa dan rasa bangga.

Walaupun komunikasi mereka terbatas melalui bahasa isyarat, senyuman serta ekspresi wajah jelas menggambarkan rasa syukur dan kebanggaan atas pencapaian Rina yang telah mengharumkan nama negara.

Sejarah Baharu E-Sukan Wanita Malaysia

Dalam pada itu, skuad Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) wanita Malaysia turut mencipta sejarah tersendiri apabila menghadiahkan pingat emas pertama negara dalam acara e-sukan di Sukan SEA.

Pasukan kebangsaan yang dibarisi Qurratul Ain Nurfarisha Nizam, Afrina Balqis Ibdhi Har Ali, Hanis Wahidah Dashuki, Queenie Lim dan Sharifah Alia Husna Syed Fakrrurozi berjaya menewaskan kuasa besar tradisi, Filipina, dalam perlawanan akhir yang berlangsung di

Universiti Chulalongkorn, Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan kemampuan atlet e-sukan wanita negara, malah menjadi inspirasi buat generasi muda bahawa latar belakang bukan penghalang untuk menggapai impian.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: WTM TODAY

Published by
Fath