Sering mencuit hati orang ramai dengan gelagat spontan ala Mr. Bean di jalanan, siapa sangka di sebalik senyuman dan aksi komedinya, tersimpan doa yang akhirnya dimakbulkan dengan cara paling indah.
Pemintal belon yang tular dikenali sebagai Abang Mr Bean kini menerima rezeki yang cukup bermakna apabila terpilih sebagai penerima tajaan Umrah 1000 Asnaf.
Rezeki Ramadan Yang Tak Disangka
Abang Mr Bean, atau nama sebenar Mohd Nizam Mohamad Idrus, 49, meluahkan rasa terharu apabila Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) memberi kejutan cukup bermakna kepadanya dengan tawaran mengerjakan umrah itu.
“Saya terharu sangat, saya tak pernah jangka, pada awal bulan Ramadan ini saya mendapat kejutan daripada ikhlas.com. Apa yang saya lalui sepanjang perjalanan hidup kami berdua (bersama-sama isteri) ini, saya rasa Allah SWT dah balas dengan cara yang tak disangka-sangka,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh ikhlas.com
Momen tersebut secara tidak langsung menjadi detik paling menyentuh hati buat dirinya dan isteri tercinta.
Ads
Diborong ‘Seikhlas Hati’
Menurut kenyataan itu, pada awalnya, kru produksi ikhlas.com bersama-sama dengan pempengaruh, Edin Komeng memborong kesemua belon Abang Mr. Bean yang dijualnya pada harga “seikhlas hati”, iaitu pelanggan sendiri menentukan jumlah ingin dibayar.
Konsep ringkas yang dibawa Abang Mr Bean, menjual belon sambil menghiburkan orang ramai, malah rupa-rupanya membuka jalan kepada rezeki yang lebih besar.
Ads
Hadiah Buat Suami Isteri Yang Tabah
Selepas pertemuan itu dan atas kelulusan peringkat atasan, kru produksi ikhlas.com akhirnya menyampaikan berita gembira tersebut kepada Abang Mr Bean serta isterinya, Suraya Zulkifli.
Bagi pasangan ini, perjalanan hidup yang dilalui bersama bukanlah mudah. Namun kesabaran dan usaha berterusan akhirnya diganti dengan peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Umrah 1000 Asnaf: Misi Merealisasikan Impian
ikhlas.com berkata Umrah 1000 Asnaf dilancarkan pada 19 Mac 2025 bersempena dengan ulang tahun kelima syarikat itu, dengan misi memperkasa komuniti setempat dalam mengenal pasti golongan asnaf terpilih untuk merealisasikan impian mereka melaksanakan ibadah umrah.
Pendekatan tersebut selaras dengan misi ikhlas.com untuk menjadikan umrah dapat diakses oleh semua umat Islam, termasuk mereka yang tidak berkemampuan, sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.
Kisah Abang Mr Bean ini membuktikan bahawa setiap usaha yang dilakukan dengan ikhlas, walau sekecil mana sekalipun, pasti ada ganjarannya. Kadang-kadang, rezeki hadir bukan dalam bentuk yang kita minta tetapi dalam bentuk yang jauh lebih indah daripada jangkaan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Storiemy, Awani
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Ekoran daripada tiga kes positif COVID-19 di Perth Australia, bandar raya berkenaan dikenakan sekatan pergerakan lockdown selama empat hari bagi mengelakkan wujudnya kluster COVID-19.
Pegawai kesihatan di negara itu mengambil langkah berjaga-jaga berikutan penularan varian Delta di negara tersebut.
Lebih dua juta penduduk yang menetap di Perth dan kawasan sekitarnya kini menjalani perintah lockdown bersama-sama penduduk di Sydney dan Darwin.
Penduduk perlu duduk rumah dan hanya dibenarkan keluar untuk membeli barang-barang penting selain dibenarkan menghadiri temu janji perubatan dan mendapat suntikan vaksin COVID-19.
Namun begitu, lockdown itu tidak dikenakan ke atas pekerja-pekerja dalam sektor penting, manakala orang ramai masih dibenarkan untuk melakukan senaman selama satu jam sehari dan bergerak dalam radius lima kilometer sahaja.
ABC Perth telah memuat naik gambar hari ketiga lockdown di Perth dan nampaknya jalan raya sangat lenggang di malam hari dan boleh dikatakan langsung tidak ada kereta di atas jalan raya.
Rata-rata daripada masyarakat di sana menerima baik arahan lockdown tersebut dan dilaporkan gambar-gambar itu diambil pada jam 7 petang.
Namun begitu, masih ada yang mengatakan keadaan di siang hari berlaku seperti kehidupan biasa kerana terdapat individu yang perlu bekerja.
Sama seperti di negara kita, masyarakat di sana juga ada yang mengeluh kerana tidak boleh bekerja dan hilang pendapatan sepanjang lockdown.
Biasalah tidak semua berpuas hati dengan tindakan yang diambil oleh kerajaan pemerintah, namun setidak-tidaknya tindakan pantas diambil bagi mengurangkan penularan wabak COVID-19. Betul tak?
“Cepat sangat benda tu jadi sebab saya baru berbual dengan Ma. Ma tanya kita dah kat mana dan saya jawab dah kat Maran dan Ma sambung tidur semula. Kemudian secara tiba-tiba saya dengar bunyi letupan lantas kereta kami tersasar merempuh pengadang besi di kiri jalan. Semua berlaku sekelip mata, terlalu kejap,” kongsi Mohd Shahrul Ikhram, 20 yang terselamat dalam nahas jalan raya pagi semalam.
Menafikan dirinya mengantuk kerana mereka sudah berhenti tidur di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh dan sudah memandu setengah jam selepas berehat itu, dia yang memandu kenderaan mengakui masih lagi trauma apabila menyaksikan empat ahli keluarganya maut serentak dalam nahas ngeri yang berlaku di Kilometer 161.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), arah Timur di Maran, Pahang, kira-kira jam 8.30 semalam.
Terkorban dalam kejadian menyayat hati ini ibunya, Azian Abdullah, 50 serta tiga lagi adik beradiknya iaitu kakak sulungnya, Fatin Najwa Mazlan, 27, adiknya, Fatin Nur Adriana, 15 dan Mohamad Danish Najmi, 10. Sementara itu, dia dan seorang lagi adiknya, Fatin Nur Athirah, 19 tahun yang berada dalam kenderaan itu hanya mengalami kecederaan.
Gambar terakhir bersama. Empat sekeluarga ini maut selepas pulang dari membeli belah persiapan raya di Kuala Lumpur. Hanya Mohd Shahrul terselamat (kiri)Beginilah keadaan kereta yang remuk. Kata Shahrul dia terdengar bunyi letupan sebelum kereta terus tersasar lalu merempuh penghadang besiBesi penghadang jalan yang menembusi kereta mengakibatkan kesemua mangsa tersepit dan meninggal di tempat kejadian
Kongsi Mohd Shahrul, sebaik letupan berlaku, kereta terus tersasar melanggar penghadang besi jalan lalu tembus ke dalam dalam kereta membuatkan mereka semua tersepit.
“Buka saja mata, saya tengok Ma, kak long dan adik-adik tersepit, saya cuba bantu tapi tak terdaya. Saya sendiri gagal mengerakkan sebelah tangan ketika itu ekoran bahu tercedera. Memang sedih tengok Ma dan adik beradik maut depan mata,” katanya yang masih lagi trauma dengan kejadian itu.
Jelasnya lagi, kemalangan itu menimpa hanya kira-kira setengah jam selepas mereka meninggalkan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh untuk meneruskan perjalanan pulang ke Kemaman.
Kata anak keempat dari tujuh beradik ini, mereka enam beranak bertolak dari Kuala Lumpur sekitar jam 1 pagi dan singgah di R&R Temerloh untuk berehat dan tidur kira-kira jam 3 pagi dan turut bersahur di situ. Mereka kemudiannya menunaikan solat Subuh sebelum menyambung tidur di dalam kereta sehingga hampir ke jam 8 pagi sebelum kemalangan terjadi pada jam 8.30 pagi.
Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Jengka sebelum jenazah empat beranak ini selamat dikebumikan dalam satu liang lahat sekitar jam 12.00 tengah malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Bandar Cheneh Baru, Kemaman.
Jenazah empat beranak ini disemadikan dalam satu liang lahatSuasana pilu berlaku apabila ahli keluarga memberikan kucupan terakhirJenazah empat beranak ini selamat dikebumikan sekitar jam 12.00 tengahmalam
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan ini ketika seluruh ahli keluarga berkumpul. Lebih menambah pilu apabila dua anak yang cedera, Fatin dan Shahrul menatap dan mengucup dahi satu persatu jenazah ibu dan adik mereka yang meninggal dunia.
Kira-kira 500 orang ramai yang hadir ke tanah perkuburan itu bagi memberi penghormatan akhir kepada kesemua mangsa juga kelihatan tersentuh hati tatkala melihat satu persatu jenazah mangsa diturunkan ke liang lahad.
Suami dan bapa mangsa, Mazlan Mohd Rashid, 48, yang juga Pegawai Felcra kelihatan tabah ketika pengebumian itu dilakukan.Terdahulu, empat jenazah berkenaan itu tiba di Surau Al-Ridhuan, Peringkat 4, Bandar Cheneh Baru, kira-kira jam 10.15 malam dari Hospital Jengka, Pahang. Ketibaan jenazah disambut dan disembahyangkan kira-kira 1,000 orang jemaah.
Kasih sayang dari seorang suami buat seluruh ahli keluarganya yang terkorban. Mazlan kelihatan tabah menghadapi ujian ini malah redha
Rasa tak sedap hati – Bapa
Jumaat lalu, enam sekeluarga ini bertolak ke Kuala Lumpur bagi membeli barang persiapan menyambut hari raya. Malah mereka sempat singgah ke Genting Highland seketika sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur dan menumpang tidur di rumah kakak kedua.
Di rumah sebelum kejadian itu berlaku, suami dan juga bapa kepada anak-anak ini, Mazlan Mohd Rashid, 54 mengakui sudah berasa tidak sedap hati.
Mazlan berkata, secara tiba-tiba dia merasa ‘sesuatu’ akan berlaku namun tidak menduga akan diuji dengan ujian berat kehilangan isteri dan tiga anak serentak di saat sambutan Hari Raya Aidilfitri semakin hampir.
“Tapi ini dah suratan takdir, saya reda…sedih memang sedih. Pagi tadi (kelmarin) saya rasa sesuatu, saya telefon isteri dan dia kata dah bergerak balik ke rumah,” katanya.
Mazlan yang juga Pegawai Felcra memberitahu, rasa tidak sedap hatinya itu terjawab selepas Mohd Shahrul Ikhram menghubunginya dan memaklumkan mereka enam beranak terlibat kemalangan di Maran.
Inilah gambar terakhir dirakam bersama semasa di Genting Highland. Ibu dan kakak sulung maut manakala Fatin dan Shahrul terselamatGambar kenangan tiga beradik. Malam itu mereka bermalam di rumah kakak kedua (gambar tengah baju merah)
“Saya bergegas pergi ke LPT di Maran, namun saya hanya mampu tatap jasad isteri dan tiga anak yang sudah terbaring kaku,” katanya lagi.
Bagaimanapun Mazlan mengakui merasa lega dan berpuas hati kerana dapat menguruskan perjalanan akhir isteri dan tiga anaknya itu sehingga kesemuanya selamat disemadikan.
“Terima kasih kepada kawan-kawan dan semua yang menguruskan jenazah sehingga semuanya selamat dikebumikan” katanya yang tidak mengikut isteri dan anak-anaknya itu.
Ramadan ini sudah pasti tidak sama lagi, begitu juga Aidilfitri yang bakal disambut. Walau seberat mana ujian, namun seluruh ahli keluarga ini redha.
Sementara seorang lagi anak mangsa, Amirul Shafiq, 24 berkata, kesemua adik beradiknya nampak gembira hendak pergi shoping sebelum kejadian.
Kata anak ketiga ini, ketika kali terakhir berjumpa ibu dan adik beradiknya itu, ibunya menyuarakan hasrat untuk membeli persiapan Aidilfitri ke KL pada Jumaat lalu.
“Ma, kak long dan empat lagi adik saya bertolak ke KL pada jam 9 pagi Jumaat lalu dan mereka sempat singgah di Genting Highlands. Tapi saya terkejut lepas abah bagitahu saya pada jam 9 pagi tadi yang ma, kak long dan adik-adik ditimpa kemalangan,” katanya yang kelihatan masih trauma.
Alfatihah untuk seluruh ahli keluarga yang maut dalam nahas menyayat hati ini.
Kredit :- Raihan Sanusi, Sinar Harian Kemaman
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bertuahnya bila dapat menjalani latihan industri ataupun internship dengan pemimpin negara.
Korang mengetahui tentang program Felo Perdana? Ia merupakan peluang yang ditawarkan kepada para siswazah dan graduan cemerlang untuk berkhidmat sebagai ‘intern’ atau pelatih sementara kepada menteri-menteri Kabinet termasuklah di pejabat Perdana Menteri.
Tahun ini merupakan tahun bertuah untuk pelajar tahun akhir Universiti Malaysia Sabah (UMS), Lua Pei Ling apabila namanya tersenarai di antara 82 peserta bagi program Felo Perdana.
Kongsi Pei Ling, dia tidak pun menaruh harapan menggunung untuk dipilih sebagai peserta Felo Perdana bagi pemilihan tahun 2022. Ini kerana ribuan pelajar telah memohon untuk menyertai program tersebut.
Foto Via borneodailybulletin
Pelajar jurusan Psikologi Industri dan Organisasi di fakulti Psikologi dan Pendidikan ini telahpun memulakan perkhidmatannya sejak 13 Julai lalu di Pejabat Ahli Jemaah Menteri Malaysia, Tan Sri Annuar Musa bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM).
Ketika dihubungi media, Pei Ling mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan padanya.
“Saya akan gunakan peluang ini untuk menimba segala ilmu dan pengalaman. Saya juga sudah bersedia menyahut cabaran dan mempelajari selok-belok tugas pemimpin negara di bawah bimbingan menteri,” katanya.
Pejabat Pentadbiran Malaysia di Putrajaya
Tambah Pei Ling, walaupun bidang komunikasi dan multimedia adalah bidang baharu dan asing buatnya, dia bersemangat untuk meningkatkan kemahiran insaniah sekali gus menjadi nilai tambah apabila memasuki dunia pekerjaan sebenar kelak.
Untuk pengetahuan korang, melalui program Felo Perdana pekerjanya akan didedahkan kepada pelbagai aspek kepimpinan kerajaan melalui seorang menteri yang akan menjadi mentor kepada felo terpilih.
Felo seperti Pei Ling pula terpilih berdasarkan keputusan akademik, kegiatan kokurikulum dan rekod kepimpinan mereka.
Program ini direka bentuk untuk memberi peluang kepada pelajar luar biasa yang ingin menjadi sebahagian daripada proses pembangunan negara sambil mengasah kemahiran kepimpinan mereka di peringkat kementerian sehingga 31 Disember 2022.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!