
Baru-baru ini, bekas jaguh badminton negara, Datuk Tan Yee Khan, dilaporkan meninggal dunia pada usia 85 tahun, sekaligus meninggalkan kesan mendalam terhadap arena sukan tanah air.
Memetik laporan Bernama, pemergian legenda beregu yang pernah menjulang Piala Thomas 1967 di Jakarta itu disahkan oleh Timbalan Presiden I Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V. Subramaniam.
Menurut Datuk Subramaniam, kehilangan Yee Khan merupakan satu tamparan besar buat komuniti badminton negara yang selama ini menjadikan mendiang sebagai ikon dan rujukan sepanjang zaman.
“Bagi pihak BAM, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang. Kita telah kehilangan seorang legenda yang merupakan antara pelopor badminton negara pada awal 1960-an,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pencapaian serta dedikasi Yee Khan dalam sukan badminton telah membuka laluan luas kepada generasi baru untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Selain kejayaan bersejarah memenangi Piala Thomas edisi 1967, Yee Khan juga dikenang sebagai sebahagian daripada pasangan beregu lelaki paling digeruni dunia pada era 1960-an bersama gandingannya, mendiang Datuk Ng Boon Bee.
Gandingan unggul itu meraih pingat emas Sukan Asia pada edisi 1962 dan 1966, muncul juara All England pada 1965 dan 1966 serta menjuarai Kejuaraan Asia pada 1965.
Mendiang juga pernah mencatat kejayaan cemerlang di peringkat serantau apabila memenangi emas Sukan SEA pada 1961, 1965 dan 1967, selain mengumpul lima gelaran Terbuka Malaysia sepanjang karier gemilangnya.
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.