
Setiap kali kembalinya bulan mulia Syawal pada setiap tahun, hati usahawan sensasi, Dato’ Sri Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Binti Othman pastinya tersentuh mengenangkan dua orang cahaya matanya yang terlebih dahulu telah meninggal dunia.
Untuk pengetahuan korang, Vida sebenarnya merupakan ibu kepada empat orang anak termasuklah Cik B dan Kacak seperti yang korang kenali pada hari ini.
Malang sekali apabila tragedi kebakaran menimpa dua lagi orang anak lelakinya yang dikenali sebagai Muhammaf Eddie Zuhdie Mohd Amin dan Muhammad Edrie Zikrie Mohd Amin.
Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada mangsa satu kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat pada tahun 2013; di mana adik-beradik berusia 10 tahun dan 11 tahun itu ditemui berada di dalam bilik air.
Sebelum ini, Vida pernah berkongsi bagaimana luluhnya perasaan beliau selama tiga bulan selepas pemergian mereka. Malah menurut anaknya Cik B, Vida berdepan episod depresi sehingga beliau enggan keluar dari rumah dan tidak lalu makan untuk tempoh hampir 40 hari.
Tentunya, memori sebegitu tidak mudah untuk terpadam dari kotak minda dan sehingga kini, setiap kali menjelang bulan Syawal sahaja, Vida akan terkenangkan dua arwah anaknya itu.
Kehadiran Aidilfitri pada tahun ini tidak terkecuali apabila Vida ditemani oleh Cik B ketika menziarahi pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya di Ipoh.
Menerusi hantaran di TikTok yang sudah mencecah lebih 2 juta tontonan, Vida berkongsi momen berkenaan dengan kapsyen, ‘Bukan Tak Redho Tapi Rindu’.
“Perginya dua permata beberapa hari sebelum Syawal. Pergi mereka di bulan Ramadan, mereka bercita-cita masuk syurga tertinggi.
“Innalillahi wainailahi rojiun. Tunggu mama di sana ye anak-anak syurga ku,” catatnya.
Sementara itu di ruang komen, warga maya turut merasa sebak melihat sisi berlainan Vida yang dikenali sebagai seseorang yang cukup ceria.
“Kita selalu tengok Dato’ happy gelak. Di sebaliknya ada kerinduan yang tidak terucap.”
“Saya ingat lagi berita tu. Moga Allah ubati kerinduan Dato’. Murahkan rezeki Dato’.”
“Nanti dia tarik Dato’ masuk syurga InsyaAllah.”
“Ada nampak orang cakap, ‘Untung Cik B apa semua dapat’. Hm jangan tengok pada apa dia ada tapi tengok apa Allah tarik daripada dia. Jadinya dia hargai adanya Cik B.”
“Kalau tak, mesti lagi meriah famili Dato’. Sedihnya.”
BACA: Kehilangan 2 Abang Sebabkan Kebakaran 10 Tahun Lalu Masih Berbekas Di Hati Cik B
Kisah Dato Sri Vida ini mengingatkan kita bahawa setiap kegembiraan yang dipamerkan seseorang mungkin tersimpan seribu satu kesedihan yang tidak diketahui umum.
Ia juga menjadi peringatan bahawa kehilangan orang tersayang bukan sesuatu yang mudah dilupakan, lebih-lebih lagi apabila tiba musim perayaan yang sepatutnya diraikan bersama keluarga.
BACA: “Saya Tak Kuat Tengok Mama Menangis” -Cik B Titip Doa & Kata-Kata Semangat Buat Datuk Seri Vida
Sebagai rekod, tragedi kebakaran itu turut meragut nyawa seorang pekerja Vida yang dikebumikan di kampung halamannya di Bota, Perak.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.