
Penyanyi dan komposer muda, Danial Chuer, melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Seni Muzik Komposisi (Kepujian) pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-103 yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, Shah Alam.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri pelantun lagu Erti Sempurna tersebut menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.

Lebih manis, Danial turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Cemerlang Alumni UiTM untuk Anugerah Graduan Terbaik Utama 2025, sekali gus mengukuhkan lagi rekod kecemerlangannya sepanjang bergelar mahasiswa.
“Alhamdulillah Anugerah Cemerlang Alumni UiTM untuk Anugerah Graduan Terbaik Utama 2025 Konvokesyen Ke-103 UiTM.

“Terima Kasih @UiTM Channel @Uitmmusic untuk peluang dan pengiktirafan ini,” coretnya.
Selain itu, Danial juga diiktiraf sebagai Siswazah Terbaik Program dan Siswazah Terbaik Fakulti susulan prestasi akademik cemerlang yang ditunjukkan sepanjang tempoh pengajiannya.
Pada istiadat sama, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Konvokesyen UiTM ke-103 di Dewan Agung Tuanku Canselor.

Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, yang juga Pro-Canselor UiTM.
Menurut satu hantaran di Facebook rasmi Istana Negara, baginda Tuanku turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan Pro-Canselor kepada Tan Sri Idris Jusoh, mantan Menteri Besar Terengganu dan Menteri Pengajian Tinggi pada tahun 2015 hingga 2018.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: TikTok Danial Chuer
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

