
Isu amanah dan kepercayaan sekali lagi tercalar apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan tiga individu, termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO), kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Penahanan dilakukan dalam satu operasi sekitar Lembah Klang pada Selasa, melibatkan dua lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an yang ditahan antara jam 3 hingga 5 petang. Seorang lagi suspek berusia 50-an pula ditahan lebih awal ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Apa yang lebih mengejutkan, siasatan awal mendapati dana yang sepatutnya disalurkan kepada golongan memerlukan itu dipercayai telah dipindahkan ke akaun syarikat milik salah seorang suspek yang juga timbalan pengerusi NGO terbabit untuk tujuan pelaburan dan kegunaan peribadi.

Lebih membimbangkan, aktiviti ini dipercayai berlaku dalam tempoh yang agak panjang, iaitu antara tahun 2018 hingga 2024, sekali gus menimbulkan persoalan besar tentang tahap pemantauan dan integriti dalam pengurusan dana awam.
Aset Mewah & Akaun Bank Bernilai Jutaan Disita
Dalam serbuan sama, SPRM turut menyita pelbagai aset bernilai tinggi yang dipercayai ada kaitan dengan kes ini. Antaranya termasuk 18 unit kenderaan mewah seperti Porsche dan Mercedes-Benz, selain hartanah dianggarkan bernilai sekitar RM11 juta.
Tidak cukup dengan itu, wang tunai serta barangan mewah seperti jam tangan berjenama juga turut dirampas. Sebagai langkah lanjut, sebanyak 33 akaun bank melibatkan jumlah kira-kira RM120 juta telah dibekukan bagi membantu siasatan.
Kes ini kini disiasat di bawah Akta SPRM 2009, dengan kesemua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman.

Apa yang berlaku ini bukan sekadar kes jenayah biasa ia melibatkan dana zakat, satu bentuk amanah yang sangat sensitif dalam masyarakat. Bila duit yang sepatutnya membantu golongan susah disalah guna, impaknya bukan saja dari segi kewangan, tapi juga kepercayaan orang ramai terhadap institusi kebajikan.
Kes ini dijangka terus menjadi perhatian, bukan saja kerana jumlah yang besar, tetapi juga kerana ia menyentuh isu integriti dalam pengurusan dana awam yang sepatutnya telus dan amanah.
Sumber : Berita Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!










