
Ammar Ahyan, anak kepada usahawan kosmetik terkenal Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, berkata kehadirannya ke Konvensyen 80 Tahun Umno adalah untuk menilai sendiri pemimpin parti itu dari sudut pandang sebagai pengundi kali pertama dan bakal ahli.
Bakal berusia 18 tahun, sekali gus layak mengundi pada PRU16 serta menyertai mana-mana parti politik, Ammar berkata dia mahu mendengar sendiri ucapan pemimpin negara sebelum membuat sebarang keputusan.
Menurut Ammar, dia masih belum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti, termasuk Umno, dan perkara itu masih dalam pertimbangannya.
Terdahulu, media melaporkan ibunya, Nur Shahida Mohd Rashid, berkata Ammar memang menunjukkan minat dalam bidang politik dan pernah menyuarakan hasrat untuk menyertai Umno selepas tamat persekolahan.
Mengulas pemerhatiannya sepanjang konvensyen itu, Ammar berkata beliau melihat perubahan dalam pendekatan pemimpin Umno yang kini lebih memberi tumpuan kepada masa depan berbanding nostalgia perjuangan lalu.
Pendekatan tersebut, menurutnya, sedikit sebanyak menarik minatnya untuk terus mengikuti perkembangan politik sebelum membuat keputusan sebagai pengundi muda.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: FMT