
Pelakon dan pelawak veteran, Kamarozaman Bin Haji Yusoff atau lebih dikenali dengan panggilan Cik Man baru-baru ini dikhabarkan telah meninggal dunia pada usia 68 tahun selepas menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tanah Merah, Kelantan pada petang tadi. Pemergian Allahyarham sekaligus mengundang rasa sedih dalam kalangan peminat serta rakan-rakan industri yang mengikuti perjalanan seni beliau sejak era 1980-an.
Menurut anak keduanya, Fakhrol Aliff, berita pemergian bapanya berlaku sekitar jam 5 petang selepas beliau menerima panggilan daripada kakaknya ketika baru pulang ke rumah sebaik selesai menjaga Allahyarham di hospital.
“Saya baru balik dari rumah tadi, rasanya dalam pukul 5 petang. Saya balik mandi lepas jaga abah tadi selepas itu kakak telefon kata datang hospital sebab abah dah tak ada,” katanya.
Fakhrol turut memaklumkan keadaan kesihatan bapanya sebelum ini tidak menunjukkan sebarang tanda penyakit serius selain pernah mengalami serangan jantung kira-kira dua tahun lalu. Selepas menjalani pemeriksaan susulan, Allahyarham dikatakan tidak berdepan masalah jantung yang membimbangkan, namun sering mengadu mengalami simptom menyerupai gastrik.
“Abah sebelum ini tak sakit teruk pun, kali terakhir dia kena serangan jantung dua tahun lepas. Selepas daripada itu, periksa jantung semua tak ada tapi dia selalu macam gastrik. Dia teruk semalam,” ujarnya lagi.
Jelas Fakhrol, Allahyarham turut mengadu sakit perut dan belakang sejak beberapa hari lalu, namun enggan mendapatkan rawatan di hospital sehingga keadaan menjadi semakin kritikal. Sehari sebelum pemergiannya, Cik Man dilaporkan ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas doktor mengesan masalah saluran jantung tersumbat yang memerlukan pemantauan rapi.
“Dia ada mengadu sakit tapi gastrik, sakit perut dan sakit belakang. Macam angin begitulah. Jadi, bila nak ajak pergi hospital dia tak nak. Semalam, dia dah tak tahan sangat dah,” tambahnya.
Dalam pada itu, Allahyarham dijadualkan dikebumikan sekitar jam 11 pagi esok dan meninggalkan seorang balu serta dua cahaya mata. Terdahulu, pelawak Amir Raja Lawak turut memaklumkan keadaan kesihatan Allahyarham berada pada tahap kritikal menerusi satu hantaran di media sosial sebelum berita pemergiannya disahkan keluarga.
Sepanjang lebih empat dekad bergelar anak seni, Cik Man cukup dikenali menerusi watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja sebelum terus mengukuhkan popularitinya menerusi karakter Cik Man dalam filem Rock Oo arahan Allahyarham Mamat Khalid. Keperibadian bersahaja serta bakat lakonan beliau yang tersendiri menjadikan Allahyarham antara figura yang meninggalkan kesan mendalam dalam industri hiburan tanah air.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.