
Setelah Malaysia mencapai kedudukan Top 30 di pertandingan Miss Universe 2024 menerusi jelitawan, Sandra Lim; kini tiba giliran wakil terbaru negara untuk sekali lagi membawa nama negara di pentas ratu cantik berprestij tersebut.
Chloe Lim yang dimahkotakan sebagai Miss Universe Malaysia 2025 kira-kira sebulan lalu kini berada di Bangkok, Thailand untuk melakukan yang terbaik bagi mengekalkan kedudukan membanggakan yang diperolehi pada tahun lalu.
Memasuki hari kelima di sana, malam ini menyaksikan Chloe dan lebih seratus delegasi lain dari serata dunia terlibat dalam sebuah acara formal bagi memperkenalkan diri mereka di mata dunia.
Tampil dalam busana serba merah oleh pereka fesyen tempatan, Brian Khoo; Chloe jelas semakin yakin dengan skil yang dipersembahkan di pentas ratu cantik.
Terdahulu sebelum ‘terbang’ ke Thailand, Chloe terpaksa menelan kritikan yang dilontarkan ke arahnya oleh warganet yang mengikut rapat dunia ratu cantik.
Biarpun berdepan kata-kata berbaur negativiti, ia tidak sesekali menghambarkan semangat dan keinginan Chloe untuk memberikan yang terbaik buat negara tercinta. Nah! REMAJA senaraikan lima fakta menarik mengenai wakil negara ini.
Sebelum terlibat dalam dunia ratu cantik, Chloe yang kini berusia 27 tahun berkhidmat sebagai Perunding Pengurusan. Walaupun pernah menyuarakan hasrat untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam hidupnya, Chloe sama sekali tidak pernah terfikir untuk menyertai pertandingan ratu cantik apatah lagi memenanginya.
Chloe hampir tidak menyertai pertandingan Miss Universe Malaysia 2025 apabila dia nekad untuk menghantarkan borang penyertaan hanya dua jam sebelum aplikasi ditutup!
Keberadaan Chloe di Thailand bukanlah sekadar untuk kelihatan glamor di hadapan kamera. Sebaliknya, Chloe membawa mesej kesedaran terhadap jurang pendidikan yang diterima oleh kanak-kanak di Malaysia. Sejak usia belasan tahun lagi, Chloe telah menawarkan diri untuk misi sukarelawan di Lighthouse Children Welfare Home di Bangsar, Kuala Lumpur terutamanya untuk meraih dana kewangan untuk kegunaan rumah amal tersebut.
Keazaman Chloe dalam menyuarakan isu jurang peluang pendidikan dalam kalangan kanak-kanak ini muncul daripada pengalamannya sendiri. Chloe bertuah kerana pernah melanjutkan pelajaran hingga ke United Kingdom, New York, Portugal dan Estonia. Daripada pengalaman meluas ini, Chloe sedar bagaimana akses terhadap pendidikan yang berkualiti amat penting untuk menentukan masa hadapan seseorang.
*
Ayuh! Sama-sama kita berikan sokongan buat Chloe Lim sepanjang keberadaannya di Bangkok bagi mengharumkan nama Malaysia.
Pentas akhir Miss Universe 2025 bakal berlangsung pada 21 November ini bagi menyaksikan siapakah ratu baharu yang akan meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh juara 2024 dari Denmark, Victoria Kjær Theilvig.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.