
Penyanyi rap terkenal, Lil Nas X, baru-baru ini dilaporkan ditahan pihak berkuasa selepas terlibat dalam satu insiden mencurigakan di Los Angeles pada awal pagi Khamis.
Memetik laporan media antarabangsa, jurucakap Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) berkata, pihak mereka menerima panggilan sekitar jam 5.30 pagi mengenai seorang lelaki yang berjalan di Ventura Boulevard hanya dengan memakai seluar dalam.
Apabila anggota polis tiba di lokasi, Lil Nas X atau nama sebenarnya Montero Lamar Hill (26), didakwa bertindak agresif dengan cuba ‘menyerang’ pihak polis. Susulan itu, beliau ditahan atas tuduhan mencederakan pegawai bertugas. Tidak lama kemudian, pelantun lagu ‘Industry Baby’ berkenaan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut selepas dipercayai mengalami simptom berlebihan dos.



Berdasarkan sebuah rakaman video yang tular yang disiarkan oleh TMZ menunjukkan bintang rap itu berada di jalan raya hanya mengenakan seluar dalam dan kasut but koboi. Dalam rakaman sama, Lil Nas X kelihatan menari sambil mengajak orang ramai yang lalu di kawasan itu untuk menyertai ‘parti’ sambil dilihat meletakkan kon jalan berwarna oren di atas kepalanya.
Difahamkan, insiden ini berlaku ketika peminat masih menantikan pelancaran album keduanya yang berjudul ‘Dreamboy’. Sebelum ini, Lil Nas X mengumumkan kepada peminat dengan memuat naik beberapa teaser muzik terbaru di Instagram sebagai persediaan untuk kemunculan album tersebut.
Sekadar info, Lil Nas X mula mencipta fenomena global selepas kejayaan lagu ‘Old Town Road’ pada tahun 2019. Lagu tersebut bukan sahaja memenangi dua trofi Grammy, malah mencatat rekod sebagai lagu paling lama berada di tangga teratas carta Billboard Hot 100 selama 17 minggu berturut-turut.


Walaupun sering menerima pencapaian dan anugerah berprestij. Namun, sepanjang kerjayanya, Lil Nas X sering terpalit kontroversi sehingga salah satu video muzik untuk lagu hitnya Montero (Call Me By Your Name) pernah dikecam golongan konservatif di Amerika Syarikat kerana dianggap ‘melampau’ dan ‘tidak bermoral’.
Penyanyi rap ini bagaimanapun terkenal dengan cara kreatifnya ‘membalas’ kritikan. Dalam satu kesempatan sebelum ini, Lil Nas X pernah memuat naik video ‘permohonan maaf’ di YouTube yang secara tiba-tiba bertukar kepada adegan tarian sensasi dari lagu Montero.
Melalui insiden terbaru ini, masa depan promosi album Dreamboy kini menjadi tanda tanya. Meskipun begitu, para peminat masih menunggu perkembangan lanjut mengenai keadaan kesihatan dan perjalanan kerjaya bintang pop sensasi itu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!






















