Berita

Hilang Dompet Hampir Dua Minggu, Cara Pekerja Pulangkan Ini Buat Netizen Kagum

Share

Kehilangan dompet sering kali dianggap sebagai satu mimpi ngeri, namun kisah seorang lelaki ini membuktikan bahawa masih wujud kejujuran dan kebijaksanaan dalam kalangan masyarakat.

Menerusi perkongsian di akaun Threads miliknya, @johan.thehutt, lelaki tersebut berkongsi pengalaman kehilangan dompet hampir dua minggu tanpa disedarinya.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu dia langsung tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka dompet berkenaan hanya tertinggal di rumah.

Katanya, dia tidak pernah benar-benar mencarinya sehinggalah kebelakangan ini, namun usaha tersebut tetap tidak membuahkan hasil.

Notifikasi Transaksi RM1 Cetuskan Tanda Tanya

 

Situasi mula menimbulkan tanda tanya apabila dia menerima notifikasi transaksi kad debit di sebuah kedai serbaneka 7-Eleven.

Perkara itu membuatkannya hairan kerana dia yakin tidak pernah mengunjungi kedai berkenaan dalam tempoh tersebut.

Lebih mengelirukan, transaksi yang direkodkan hanyalah sebanyak RM1 dan berlaku sebanyak dua kali.

“Kenapa orang nak guna kad tapi cuma belanja RM1?” tulisnya, mempersoalkan perkara itu.

Cara Pekerja Pulangkan Dompet Buat Ramai Kagum

Pada ketika itu, dia mula berfikir kemungkinan transaksi kecil tersebut dilakukan bukan dengan niat mencuri, sebaliknya sebagai satu cara untuk memberi isyarat kepadanya melalui notifikasi bank. Fikirannya itu ternyata tepat.

Beberapa hari kemudian, dia dimaklumkan bahawa sekumpulan pekerjanya sendiri telah menemui dompet berkenaan dan menyimpannya dengan baik sepanjang tempoh dua minggu tersebut.

Transaksi RM1 itu dilakukan semata-mata untuk memastikan pemilik dompet menyedari kehilangan dompetnya.

“Turns out that what actually happened. These lads have been holding onto my wallet for two weeks till today. Shout out to these lads for their honesty and integrity,” tulisnya.

Perkongsian mengenai cara pekerja pulangkan dompet itu turut mengundang perhatian netizen di ruangan komen. Rata-rata memuji tindakan pekerja tersebut yang disifatkan sangat bijak, beretika dan penuh integriti.

Ada yang menyatakan kaedah tersebut sebagai satu pendekatan kreatif tanpa menimbulkan panik atau kerugian besar kepada pemilik dompet.

Malah, segelintir netizen turut menyifatkan kisah ini sebagai bukti bahawa kejujuran masih wujud, walaupun dalam situasi yang sering disalah tafsir sebagai kecurian.

Dalam dunia yang serba pantas dan penuh syak wasangka, kisah ini mengingatkan kita bahawa niat baik boleh dizahirkan dengan cara yang paling ringkas dan kadangkala, RM1 sudah cukup untuk menyampaikan satu mesej yang besar.

Sumber : Thread johan.thehutt

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Darwisy