Drama Filem

Byeon Woo-seok Mulakan Tahun Baru Dengan Sumbangan 200 Juta Korea Won Untuk Kebajikan Golongan Remaja

Share

Pelakon popular Korea Selatan, Byeon Woo-seok (35), baru-baru ini mencuri perhatian para peminat dan industri hiburan apabila memulakan tahun baru 2026 dengan langkah terpuji dengan menderma sumbangan berjumlah 200 juta Korea Won kepada dua institusi berbeza yang memberi fokus kepada kebajikan remaja dan pesakit golongan remaja.

Difahamkan, sebanyak 100 juta Korea Won telah didermakan kepada GFoundation iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pembangunan antarabangsa, bagi membantu remaja perempuan daripada keluarga berpendapatan rendah di Korea Selatan. Sumbangan ini bertujuan menyediakan kit penjagaan haid kepada gadis yang memerlukan.

Menurut GFoundation, kit yang disediakan merangkumi tuala wanita dalam pelbagai saiz, pek pemanas serta produk kebersihan wanita. Selain itu, dana tersebut turut digunakan bagi menyokong program pendidikan seksual serta kerja-kerja penambahbaikan kemudahan kebersihan seperti tandas di kawasan terlibat.

Dalam satu kenyataan rasmi, Byeon Woo-seok berkata penglibatan beliau dalam inisiatif kebajikan tersebut memberi makna tersendiri dan berharap sumbangan tersebut dapat meringankan kesukaran yang dialami oleh remaja perempuan yang berdepan kekangan akses kepada produk kebersihan asas, khususnya ketika tempoh haid.

“Saya berharap sumbangan ini dapat membantu mereka menjalani kehidupan harian dengan lebih selesa dan stabil sepanjang tahun ini,” katanya.

“Saya berasa gembira dapat turut serta menyokong pesakit muda untuk mendapatkan kembali kesihatan mereka serta membantu mereka dan keluarga melangkah ke arah masa depan yang lebih bahagia”

“Saya berharap semua pihak, termasuk pesakit kanak-kanak dan remaja serta keluarga mereka, dapat terus menyimpan harapan ketika menyambut ketibaan tahun baru 2026,” ujarnya lagi.

Sementara itu, menurut pegawai GFoundation, Lee Jun-young, beliau menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan yang ditunjukkan oleh pelakon berkenaan. Menurutnya, sumbangan tersebut akan dimanfaatkan secara bertanggungjawab demi memastikan hak asas golongan remaja perempuan yang terdedah dapat dilindungi.

Selain sumbangan kepada GFoundation, Byeon Woo-seok turut menderma sebanyak 100 juta Korea Won kepada Hospital Severance sempena sambutan tahun baru. Menurut kenyataan hospital itu, dana berkenaan akan digunakan untuk menyokong rawatan pesakit kanak-kanak dan remaja.

Sekadar info, ini bukan kali pertama  Byeon Woo-seok menunjukkan komitmennya terhadap kebajikan kesihatan. Pada tahun 2024, beliau pernah menderma sebanyak 300 juta Korea Won kepada Hospital Severance dengan tujuan yang sama, iaitu bagi membantu rawatan pesakit kanak-kanak dan remaja.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE