
Terbaru, Recording Academy akhirnya tampil mengangkat suara selepas BTS membuat keputusan untuk tidak menghantar sebarang karya bagi dipertimbangkan dalam Anugerah Grammy ke-69 yang dijadualkan berlangsung pada Februari 2027. Langkah bintang sensasi Korea Selatan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat dan pemerhati industri muzik global, yang melihatnya sebagai isyarat bantahan terhadap kategori baru ‘Best Asian Pop Music Performance’.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Recording Academy, Harvey Mason Jr. berkata, beliau meluahkan rasa sedih dengan keputusan yang dibuat oleh BTS, namun tetap menghormati pendirian kumpulan tersebut.
“Saya sedih apabila mengetahui BTS memilih untuk tidak menyertai proses Grammy pada tahun ini. Namun, sebagai seorang pengkarya muzik, saya memahami dan menghormati keputusan mereka,” katanya menerusi sebuah perkongsian di Instagram rasmi Grammy.
Kenyataan itu hadir sehari selepas BTS mengumumkan bahawa mereka tidak akan menghantar karya untuk dinilai bagi edisi Grammy 2027. Sebelum ini, kumpulan berkenaan turut menyuarakan harapan agar setiap karya muzik dapat dinilai berdasarkan nilai seninya, tanpa perlu dikategorikan mengikut rantau atau bahasa.
Walaupun BTS tidak menyatakan sebab sebenar di sebalik keputusan tersebut, ramai beranggapan tindakan itu mempunyai kaitan dengan pengenalan kategori baharu berkenaan. Malah, ada yang melihatnya sebagai satu bentuk bantahan terhadap sistem yang dikhuatiri boleh meletakkan artis bukan Barat dalam kelompok berasingan daripada kategori utama.
BACA: BTS Putuskan Tidak Hantar Karya Ke Grammy 2027, HYBE Sahkan Artis Lain Masih Boleh Bertanding
Mengulas mengenai perkara itu, Harvey Mason Jr. menjelaskan bahawa kategori Best Asian Pop Music Performance diwujudkan bagi mengiktiraf kepelbagaian serta kualiti luar biasa muzik pop Asia. Menurut beliau, kategori tersebut bukan bertujuan memisahkan artis Asia, sebaliknya membuka lebih banyak peluang untuk mereka mendapat pengiktirafan daripada kira-kira 15,000 ahli pengundi Grammy.
Pada masa yang sama, beliau turut menolak tanggapan bahawa artis yang bertanding dalam kategori genre tidak berpeluang bersaing dalam kategori utama. Sebaliknya, beliau menegaskan semua karya yang memenuhi syarat masih layak dipertimbangkan dalam kategori utama tanpa mengira genre, selain pengiktirafan dalam kedua-dua kategori boleh diperoleh secara serentak.
Pengenalan kategori baharu itu bagaimanapun terus mengundang perdebatan dalam kalangan peminat dan penggiat industri muzik. Ada yang menyifatkannya sebagai langkah positif dalam memperluaskan pengiktirafan terhadap muzik Asia, manakala sebahagian lagi berpendapat ia berpotensi mewujudkan jurang antara artis Barat dan bukan Barat.
Untuk rekod, Anugerah Grammy sebelum ini sering menerima kritikan berhubung tahap keterangkuman dalam proses pencalonan dan pemilihan pemenang. Malah, anugerah berprestij itu juga beberapa kali dikatakan lebih konservatif dalam memberi pengiktirafan kepada artis bukan kulit putih berbanding acara anugerah muzik utama lain di Amerika Syarikat.
Sumber: Grammy
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.