Hiburan

Penantian Peminat Berakhir, BIGBANG Kembali Dengan Single Terbaru ‘BiiiG’ Selepas Empat Tahun

Share

Bintang ikonik K-Pop, BIGBANG sekali lagi mencuri perhatian selepas mengumumkan kemunculan semula mereka menerusi single digital terbaru berjudul ‘BiiiG’ yang bakal dilancarkan sempena ulang tahun ke-20 kumpulan tersebut. Khabar itu pastinya mengubat kerinduan VIP selepas BIGBANG tidak tampil dengan keluaran berkumpulan sejak ‘Still Life’ pada April 2022.

Menerusi sebuah perkongsian di media sosial rasmi BIGBANG, kumpulan itu mendedahkan teaser pertama ‘BiiiG’ yang menampilkan tiga anggota iaitu G-Dragon, Taeyang dan Daesung. Single berkenaan dijadualkan menemui peminat pada 19 Ogos ini, jam 6 petang waktu Korea Selatan, sekaligus bertepatan dengan tarikh ulang tahun ke-20 BIGBANG.

Kemunculan terbaru ini juga merupakan detik istimewa apabila ‘BiiiG’ menandakan keluaran rasmi pertama BIGBANG sebagai trio. Sebelum ini, G-Dragon, Taeyang dan Daesung pernah bergabung menerusi lagu berjudul ‘Home Sweet Home’ yang dimuatkan dalam album solo G-Dragon, “Übermensch”.

Menurut YG Entertainment, ‘BiiiG’ merupakan karya yang menggambarkan sisi BIGBANG pada masa kini ketika mereka meraikan dua dekad perjalanan dalam industri muzik. Agensi tersebut turut berharap peminat dan orang ramai akan menantikan kelainan daripada spektrum muzik BIGBANG yang selama ini dikenali dengan identiti serta dunia muzik tersendiri.

Selain single baharu, BIGBANG turut mempunyai beberapa perancangan besar bagi meraikan ulang tahun ke-20 mereka, termasuk siri jelajah dunia ‘XX: COSMOS’. Jelajah berkenaan bakal membawa G-Dragon, Taeyang dan Daesung ke beberapa lokasi di Asia, Eropah serta Amerika Syarikat.

BACA: BIGBANG Kembali Gegar Kuala Lumpur Selepas Hampir Sedekad, Bakal Temui VIP Januari Ini!

Lebih menarik, Malaysia turut tersenarai dalam destinasi jelajah tersebut apabila BIGBANG dijadualkan bakal menggegarkan pentas di TM Stadium Nasional pada 9 Januari 2027. Kepulangan mereka ke negara ini pastinya menjadi antara acara yang paling dinantikan peminat tempatan selepas sekian lama menunggu peluang untuk menyaksikan trio berkenaan beraksi secara langsung.

Dalam pada itu, BIGBANG turut bakal meraikan pencapaian dua dekad mereka menerusi projek ‘media art’ khas berjudul “Cosmos” di Seoul. Pameran dua bahagian itu akan mengetengahkan perjalanan serta sejarah BIGBANG sepanjang 20 tahun, dengan pameran prekuel yang berlangsung di Lotte World Tower pada bulan ini sebelum pameran utama diadakan pada penghujung tahun.

Dengan pelbagai projek istimewa yang disusun sempena ulang tahun ke-20, BIGBANG jelas tidak sekadar kembali menerusi sebuah single baharu. Kini, perhatian peminat pastinya tertumpu kepada ‘BiiiG’ untuk melihat arah muzik yang bakal diketengahkan, selain menantikan kemeriahan sambutan dua dekad kumpulan yang terus menjadi antara nama paling berpengaruh dalam sejarah K-Pop.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE