Hiburan

Big Stage Rocketfuel Kembali, Pentas Lahirkan Bintang Baharu & Terus Perkukuh Legasi Alumni

Share

Rancangan realiti nyanyian Astro, Big Stage sekali lagi kembali dengan musim terbaharu menerusi Big Stage Rocketfuel!

Bakal bersiaran mulai 28 Jun ini di Astro Ria, ia tampil dengan konsep yang lebih segar dan berani pada musim ini.

Astro bukan sekadar mempertaruhkan pertandingan nyanyian, sebaliknya meneruskan peranannya sebagai platform pembangunan bakat bagi melahirkan generasi pelapis industri hiburan tempatan.

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, Big Stage sentiasa memainkan peranan lebih besar daripada sekadar sebuah pertandingan.

“Kerjasama bersama Rocketfuel Entertainment mencerminkan komitmen kami dalam mewujudkan ekosistem pembangunan bakat yang lebih kukuh dan mampan,” katanya dalam sebuah sidang media yang diadakan baru-baru ini di Bukit Jalil.

Tambah beliau, sambutan hangat yang diterima daripada penonton tahun demi tahun juga menunjukkan program tersebut masih mempunyai tempat tersendiri dalam kalangan peminat hiburan tempatan.

“Berdasarkan maklum balas daripada sosial media, kita mendapati Big Stage merupakan satu program yang masih relevan, menarik minat penonton dan orang ramai masih bercakap tentangnya,” jelasnya.

Raqim Ahmad (tengah) ketika ditemui di sidang media Big Stage Rocketfuel.

Alumni Terus Menjadi Bukti Kejayaan Big Stage

Sepanjang keudara selama enam musim berturut-turut, pentas Big Stage telah banyak melahirkan barisan alumni yang berjaya menebus masuk ke dalam industri hiburan nyanyian dan lakonan untuk dikenali sebagai bakat-bakat muda yang wajar diambil secara serius.

Tidak kiralah sama ada mereka melangkah keluar sebagai sang juara ataupun tidak, rata-rata kian melebarkan sayap dengan pelbagai kejayaan dan pengiktirafan berpihak kepada mereka. Jom kita imbas kembali alumni yang telah mengharumkan nama Big Stage sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Wani Kayrie

Antara alumni yang paling konsisten berkembang selepas pertandingan ialah Wani Kayrie. Selain popular menerusi lagu Jangan Jangan dan Aku, Kau & Muzik, graduan Management & Science University ini turut mencetuskan fenomena baru-baru ini menerusi lagu Cak Cak Cekuk yang berjaya mengubah trend muzik semasa dan mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.

Sissy Imann

This list would not be complete without this sensational artist. Sissy Imann merupakan salah seorang bekas peserta Big Stage yang berjaya menempah kerjaya dan koreografi bervariasi sama ada dalam aliran muzik, lakonan mahupun pengacaraan. Keberanian Sissy untuk bereksperimentasi membuahkan hasil apabila orang ramai menyedari sejauh mana potensi dan keunikan yang ada padanya.

Alpha

Dibentuk menerusi program Big Stage Alpha pada tahun 2025, kumpulan yang terdiri daripada tujuh penyanyi lelaki berbakat ini mencipta sejarah tersendiri dalam dunia program realiti di Malaysia apabila mereka disatukan dalam sebuah kumpulan vokalis. Setahun selepas meninggalkan pentas pertandingan berkenaan, Alpha memperlihatkan potensi besar kumpulan lelaki tempatan apabila baru-baru ini melancarkan album debut berjudul The First Wave yang menghimpunkan 12 buah lagu.

Sarah Suhairi

Peserta Big Stage musim pertama ini berjaya mengembangkan kerjaya seninya selepas pertandingan menerusi lagu-lagu seperti Sah dan Nyawa & Raga. Kini, Sarah turut aktif sebagai pelakon dan pengacara selain terus menghasilkan karya muzik baharu.

Irfan Haris

Mula mencuri perhatian menerusi Big Stage musim kedua, Irfan Haris terus mengorak langkah dalam industri muzik dengan beberapa lagu popular seperti Redha, Pesan

dan Hilang. Adik kepada penyanyi dan pelakon popular, Amira Othman ini kini dilihat berjaya membina identiti tersendiri sebagai antara penyanyi muda yang konsisten berkarya dalam industri tempatan.

Aisha Retno

Penyanyi dan komposer berbakat ini mula mencuri perhatian menerusi penyertaannya dalam Big Stage musim keempat. Biarpun mengakhiri episod persaingan di Big Stage di tangga ketiga, perjalanan seni Aisha terus berkembang apabila tampil dengan karya-karya popular seperti Sutera, Samudera, Jeda dan Jodoh Lebaran. Kini, Aisha kembali ke pentas Big Stage bukan sebagai peserta tetapi sebagai juri tetap musim baharu, sekaligus membuktikan perkembangan karier yang dibina selepas program tersebut.

Nadeera Zaini

Nama Nadeera semakin menjadi sebutan selepas memenangi Big Stage musim kelima. Kekuatan vokalnya berjaya memikat ramai peminat muzik tempatan sebelum terus mengukuhkan kedudukan dalam industri menerusi lagu-lagu seperti Bukan Lagi Kita dan Jahat. Hype yang berjaya dicetuskan oleh Nadeera menerusi single terbaru Jun ini berjudul Cuba Jadi Aku turut menjadi antara contoh bagaimana platform Big Stage mampu membuka laluan lebih besar buat bakat muda.

Andi Bernadee

Meskipun perjalanan dalam Big Stage musim pertama tidak memihak kepadanya, Andi Bernadee berjaya membuktikan bahawa platform berkenaan hanyalah permulaan kepada perjalanan yang lebih besar. Selain mencipta kejayaan menerusi lagu-lagu hit seperti Donde, Shimmy dan Satu Peluang, Andi kini kembali aktif dalam bidang lakonan dan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penghibur serba boleh menerusi single catchy pada bulan ini berjudul Ding Geding.

10 Peserta Baharu Sedia Dominasi Pentas

Bagi musim ini, seramai 10 peserta bakal merebut peluang untuk bergelar juara terbaru Big Stage yang mencipta sensasi dunia hiburan tempatan seterusnya. Mereka terdiri daripada Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina serta duo Adam & Nazmie.

Menariknya, semua peserta telah pun menandatangani kontrak bersama Rocketfuel Entertainment sebelum pertandingan bermula. Langkah tersebut memberi kelebihan kepada mereka untuk menerima bimbingan profesional dan perancangan kerjaya yang lebih tersusun sepanjang program berlangsung serta selepas ia melabuhkan tirai.

Musim ini menyaksikan kepulangan Hael Husaini sebagai juri tetap dengan gandingan dua juri baharu, Akim Ahmad dan Aisha Retno. Sementara itu, Nabil Ahmad dipilih sebagai hos bersama-sama seorang lagi rakan pengacara yang bakal diumumkan kelak.

Mengangkat tema “Dominasi For Real”, para peserta bakal berdepan pelbagai cabaran sepanjang lapan minggu pertandingan bagi membuktikan keaslian, kemampuan vokal serta karisma mereka di atas pentas.

Jom saksikan Big Stage X Rocketfuel yang bakal bersiaran mulai 28 Jun ini, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria, di mana pentas baharu ini menjanjikan persaingan sengit serta kelahiran bintang hiburan seterusnya.

Penonton juga boleh strim episod penuh menerusi Astro One dan sooka untuk tidak ketinggalan setiap momen menarik sepanjang musim ini.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE