Gaya Hidup

Bermula Dengan Satu Posting Di Threads, Cik B Tunaikan Impian Peminat Untuk Bertemu

Share

Kadang-kadang satu perkongsian ringkas di media sosial mampu membawa kepada sesuatu yang cukup bermakna.

Baru-baru ini, tindakan anak kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Vida iaitu Cik B mencuri perhatian selepas dia meluangkan masa untuk bertemu dengan seorang peminat bernama Nur Sakinah Lutfiyyah.

Pertemuan tersebut bermula selepas seorang petugas kesihatan berkongsi kisah Nur Sakinah menerusi Threads dan meminta bantuan orang ramai untuk membuatkan hantaran berkenaan sampai kepada pengetahuan Cik B.

Menurutnya, Nur Sakinah sangat menyimpan hasrat untuk bertemu dengan personaliti media sosial tersebut. Malah, persamaan wajah antara mereka turut membuatkan perkongsian itu mencuit hati ramai.

“Korang boleh tak tolong like post ni banyak-banyak sampai Cik B nampak? Alkisahnya patient aku ni nak sangat jumpa dengan Cik B. Dah lah muka sama,” tulisnya.

Tidak mengambil masa lama, permintaan tersebut akhirnya mendapat perhatian Cik B yang meninggalkan respons ringkas meminta individu berkenaan menghubunginya menerusi direct message (DM).

Respons itu sekali gus membuka jalan kepada pertemuan yang pada awalnya hanya bermula daripada sebuah hantaran di Threads. Daripada permintaan ringkas untuk mendapatkan perhatian di media sosial, hasrat Nur Sakinah akhirnya sampai kepada individu yang ingin ditemuinya.

Cik B Betul-Betul Datang Jumpa

Apa yang lebih menyentuh hati, Cik B bukan sekadar memberikan respons di media sosial.

Selang beberapa hari, dia berkongsi pula momen pertemuannya bersama Nur Sakinah menerusi akaun Threads miliknya, sekali gus menunjukkan hasrat peminatnya itu akhirnya menjadi kenyataan.

Pertemuan tersebut turut mendapat perhatian ahli keluarga Nur Sakinah. Seorang pengguna Threads dikenali sebagai Syafiq Suhaimi tampil mengucapkan terima kasih kepada Cik B atas kesudian meluangkan masa dan memberikan kasih sayang kepada anak buahnya.

Bagi keluarga Nur Sakinah, pertemuan berkenaan tentunya membawa makna yang lebih besar apabila mengetahui perjalanan dan ujian kesihatan yang pernah dilaluinya sejak kecil.

Kisah Nur Sakinah Yang Menyentuh Hati

Syafiq turut berkongsi bahawa Nur Sakinah pernah berdepan ujian kesihatan sejak kecil apabila mempunyai ketumbuhan di bahagian otak.

Selepas menjalani pembedahan, Nur Sakinah mengalami kelumpuhan pada bahagian kiri badan yang melibatkan tangan dan kakinya.

“Terima kasih Cik B atas kasih dan sayang pada anak buah saya.

“Untuk pengetahuan semua, nama dia Nur Sakinah Lutfiyyah. Masa kecil dia ada ketumbuhan dalam otak. Lepas operate dia lumpuh sebelah kiri kaki dan tangan.

“Saya minta semua doakan anak buah saya supaya sihat seperti sedia kala,” kongsinya.

Perkongsian tersebut membuatkan kisah di sebalik pertemuan itu menjadi lebih menyentuh hati. Bukan sahaja impian Nur Sakinah untuk bertemu personaliti yang diminatinya tercapai, malah keluarganya turut menghargai kesudian meluangkan masa untuk bertemu dengannya.

Apa yang bermula dengan satu posting dan harapan agar Cik B menyedarinya akhirnya bertukar menjadi sebuah pertemuan yang cukup bermakna buat Nur Sakinah.

Dalam masa sama, perkongsian Syafiq mengenai keadaan Nur Sakinah turut membuka ruang untuk orang ramai menitipkan doa buatnya. Di sebalik momen menggembirakan bertemu personaliti yang diminati, terselit juga harapan keluarga supaya keadaan kesihatannya terus bertambah baik.

Pertemuan yang tercetus daripada satu posting ringkas itu akhirnya bukan sahaja menunaikan satu impian, malah meninggalkan sebuah kisah yang cukup bermakna untuk Nur Sakinah dan keluarganya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagramTikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Darwisy