
Pada usia 25 tahun, kebanyakan anak muda mungkin sedang sibuk membina kerjaya, mengejar impian dan mencari hala tuju kehidupan masing-masing. Namun, perjalanan setiap orang tidak pernah sama.
Bagi seorang pemuda yang dikenali sebagai emrann.nn di Threads, fasa kehidupannya ketika ini jauh berbeza apabila dia tidak mempunyai pekerjaan dan dalam masa sama perlu jaga ibu strok yang sedang berdepan masalah kesihatan.
Menerusi satu perkongsian ringkas, pemuda berkenaan menyifatkan situasi yang sedang dilaluinya sebagai antara titik terendah dalam kehidupannya.
Namun di sebalik kesukaran tersebut, permintaannya cukup sederhana. Dia hanya berharap warga maya dapat menitipkan doa agar keadaan ibunya kembali pulih seperti sediakala.
“Minta warga Threads yang baik hati doakan ibu saya kembali sihat dan boleh bercakap macam biasa pun dah happy sangat-sangat.”
Tidak menyangka perkongsian ringkasnya mendapat perhatian ramai, emrann.nn kemudiannya kembali meninggalkan respons selepas membaca satu demi satu komen yang diterima.
Menurutnya, dia cukup terharu melihat begitu ramai individu yang tidak dikenalinya sudi mendoakan kesihatan ibu serta memberikan kata-kata semangat kepadanya.
“Ya Allah, tak sangka dapat sambutan post saya. Saya baca satu-satu komen. Terima kasih semua yang mendoakan untuk ibu saya, yang bagi kata-kata semangat dan sebagainya.”
Dia turut mendoakan agar segala urusan mereka yang memberikan sokongan kepadanya dipermudahkan serta dikurniakan kesihatan yang baik.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga Threads memberikan reaksi positif dan meminta pemuda berkenaan agar tidak terlalu merendahkan dirinya hanya kerana kehidupannya ketika ini tidak berjalan seperti yang dirancang.
Malah, satu komen mencuri perhatian apabila seorang pengguna memberikan perspektif berbeza terhadap istilah ‘titik terendah’ yang digunakan pemuda tersebut.
“Bukan titik terendah tapi titik tertinggi seorang anak yang berbakti pada ibunya. Allah angkat darjat awak.”
Dalam pada itu, ada juga individu yang berkongsi pengalaman hampir sama apabila kehidupannya turut berubah selepas memilih untuk pulang ke kampung dan menjaga kedua-dua ibu bapanya.
“Jangan risau dik. Akak resign kerja sebab stres. Tak lama lepas itu bercerai. Balik kampung jaga mak lumpuh dan ayah tua. Jobless di umur 38. Nak kerja tak boleh, nak apa tak boleh sebab kesiankan mak ayah.”
Perkongsian tersebut sedikit sebanyak menunjukkan realiti yang mungkin tidak selalu kelihatan di media sosial. Ketika ramai individu seusia sedang mengejar perkembangan kerjaya dan pencapaian peribadi, ada juga yang perlu memperlahankan perjalanan hidup demi menjaga insan tersayang.
Tidak mempunyai pekerjaan pada usia tertentu juga tidak semestinya bermaksud seseorang itu tidak melakukan apa-apa dalam kehidupannya. Tanggungjawab untuk jaga ibu strok atau ahli keluarga lain yang sedang sakit juga memerlukan masa, tenaga dan komitmen yang besar.
Dalam keadaan seperti ini, rutin harian seseorang boleh berubah sepenuhnya. Masa yang sebelum ini mungkin digunakan untuk bekerja, mencari peluang kerjaya atau mengurus kehidupan sendiri perlu dibahagikan dengan tanggungjawab menjaga ahli keluarga.
Bagi penjaga, keperluan insan tersayang sering menjadi antara perkara utama yang perlu diberikan perhatian. Walaupun tanggungjawab tersebut mungkin tidak kelihatan seperti sebuah pekerjaan formal, komitmen menjaga ahli keluarga yang sakit tetap membawa tanggungjawab tersendiri.
Semoga segala urusannya dipermudahkan dan ibunya diberikan kesembuhan serta kembali mampu berkomunikasi seperti sediakala.
Sumber : Threads emrann.nn
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.