
Selepas berdepan kekecewaan dalam saingan keirin dan pecut, sensasi remaja berbasikal trek negara, Sawda Hasbullah membuktikan semangat juangnya masih utuh apabila berjaya menebus kehampaan dengan meraih emas bagi acara satu kilometer (km) ujian masa kategori remaja wanita di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) yang berlangsung di Velodrom Tagaytay, Filipina, baru-baru ini.
Lebih manis, kemenangan itu bukan sekadar emas biasa apabila Sawda turut memecahkan rekod Asia miliknya sendiri dengan catatan masa 1 minit 09.604 saat (s).
Kegagalan dalam acara keirin dan pecut sebelum ini jelas tidak mematahkan semangat pelumba berusia 18 tahun itu. Sebaliknya, ia menjadi pembakar semangat buat Sawda untuk tampil lebih kuat dalam acara seterusnya.
Aksi bertenaga yang dipamerkan membuktikan dia bukan mudah mengalah, malah memiliki mentaliti juara yang diperlukan untuk terus bersaing di pentas antarabangsa.
Sawda bukan sahaja mempertahankan emas yang dimenanginya tahun lalu di Velodrom Nasional, Nilai, malah berjaya memperbaharui rekod Asia miliknya sendiri.
Rekod lama yang dilakukannya pada Februari 2025 adalah 1:10.818s, yang ketika itu turut diiktiraf sebagai rekod remaja dunia sebelum dipecahkan oleh pelumba Britain, Erin Boothman pada Julai di Kejohanan Berbasikal Eropah.
Kali ini, Sawda tampil lebih pantas dengan catatan 1:09.604s, ia satu pencapaian yang cukup membanggakan.
Dalam perlumbaan tersebut, pingat perak dimenangi oleh Lee Hyun Ji dari Korea Selatan dengan masa 1:10.640s, manakala gangsa menjadi milik pelumba India, S Thabitha yang mencatat 1:12.613s.
Walaupun hanya membawa pulang satu emas berbanding dua emas pada edisi lalu, pencapaian Sawda tetap membuktikan dirinya sebagai pelapis sensasi yang mampu menggalas cabaran menggantikan barisan pelumba senior negara.
Pada kejohanan kali ini juga, dia turut menyumbang pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan remaja wanita bersama Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak dan Davia Evriel Eriana Azif selepas mencatat masa 52.835s.
Dalam acara pecut berpasukan itu, pingat emas dimenangi trio Korea Selatan yang dibarisi Kang Yun Chae, Hyun Ji dan Park Hye Rin dengan masa 50.076s, manakala perak menjadi milik pasukan India terdiri daripada Namita Violet, Aabha Soman dan Thabitha (52.817s).
Apa yang dipamerkan oleh Sawda Hasbullah di pentas Asia ini jelas memberi bayangan bahawa masa depan sukan berbasikal trek negara berada di landasan yang tepat.
Dengan semangat juang tinggi dan prestasi yang semakin meningkat, tidak mustahil nama Sawda akan terus bersinar, bukan sahaja di Asia malah di pentas dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.