Bad Boys For Life Filem Aksi Komedi Terbaik Dari Will Smith

Share

Selepas hampir dua dekad, gandingan pegawai polis Mike Lowrey dan Marcus Burnett kembali lagi dalam Bad Boys For Life.

Chemisty lakonan dua aktor hebat, Will Smith dan Martin Lawrence memang tidak pernah mengecewakan. Apa yang lebih menarik lagi, kali ini penonton akan lebih terhibur bila melihat watak Marcus Burnett yang telah bergelar seorang datuk.

Kisah Bad Boys kali ini menceritakan tentang hubungan Mike dan Marcus yang menjadi renggang. Semuanya kerana Marcus yang mengambil keputusan untuk bersara namun dibantah oleh Mike.

Namun, satu insiden telah berlaku dan Mike ditugaskan untuk mengetahui pasukan elit yang baru ditubuhkan, AMMO. Walaupun dia selalu bercanggah pendapat dengan pasukan polis-polis muda tersebut, namun tindakan profesional dan semangat sepasukan mereka harus dipuji.

Apabila seorang ketua samseng dari kartel dadah Miami, yang mana abangnya telah dibunuh oleh Mike dan Marcus beberapa tahun lalu, ingin membalas dendam terhadap Mike, kedua-dua polis itu perlu bersatu semula untuk menumpaskannya.

Jika korang mahu menonton komedi dan aksi dalam satu movie, Bad Boys For Life adalah pilihan terbaik. Jalan cerita yang menarik dari awal hingga akhir serta padat dengan aksi tembak-menembak, korang memang tak sempat nak rasa mengantuk menonton filem ini walaupun durasinya 2 jam 4 minit. Hiks!

Chemistry di antara dua watak penting ini tidak perlu dinafikan lagi. Ada sahaja babak mencuit hati mereka walaupun sedang berhadapan dengan situasi tegang.

Sesekali kami terasa seperti menonton filem Fast & Furious kerana lagak si Mike membawa kereta yang seperti lipas kudung.

Kami juga tertarik dengan plot twist yang diberikan kerana pelbagai emosi dirasakan pada saat akhir menonton filem ini.

Selepas kecewa dengan aksi Will Smith dalam Gemini Man tahun lalu, filem ini berjaya mengubati rasa kecewa kami kerana lagak aksi Will Smith dalam filem ini memang meletop!

Kalau korang nak tahu kenapa, kenalah tonton sendiri Bad Boys For Life yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 23 Januari 2020.

IKLAN