
Bagi Siti Nurdiana Mohamad Bistawi, 20, pengorbanan seorang ayah yang membesarkannya sejak kecil tidak mungkin dapat dibalas dengan wang ringgit.
Anak tunggal itu kini memilih untuk mengetepikan sementara impiannya bergelar tentera apabila mengambil keputusan menangguhkan pengajian di semester tiga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur, selama enam bulan demi menjaga bapanya yang kini menghidap kanser paru-paru tahap empat serta kehilangan deria penglihatan.
“Hanya dia satu-satunya harta berharga yang saya ada sekarang kerana sanggup berkorban besarkan saya, kini giliran saya pula berkorban untuk jaga ayah,” katanya.
Siti Nurdiana yang berasal dari Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah, merupakan anak tunggal dalam keluarganya.
Ibunya meninggal dunia pada 2009 akibat penyakit buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi.
Sejak itu, bapanya, Mohamad Bistawi Bakar, 56, menjadi insan yang membesarkan dan menjaganya seorang diri sehingga dia berjaya melangkah ke alam universiti.
“Sejak itu, ayah yang membesarkan saya dan menjaga saya sehingga berjaya melangkah ke universiti.
“Memang impian saya nak jadi tentera sejak kecil, kini saya sedang belajar tetapi saya terpaksa berkorban demi ayah, tangguhkan pengajian enam bulan untuk menjaganya.
“Sebelum ini, kalau saya pulang ke kampus, saya meminta bantuan jiran untuk tengokkan ayah dan beri dia makan tetapi bila ayah kerap masuk wad, saya kena balik jaga dia,” katanya kepada pemberita.
Selepas keadaan kesihatan bapanya semakin merosot, Siti Nurdiana mengambil tanggungjawab untuk menguruskan keperluan harian ayahnya di rumah.
Setiap hari, dia akan memandikan bapanya di tepi dinding yang dibina khas sebagai tandas kecil bagi memudahkannya mengangkat bapanya walaupun terpaksa melakukannya seorang diri.
Selain itu, dia turut memasak, menguruskan rumah serta menyuap makanan dan minuman untuk bapanya.
Sebelum disahkan menghidap kanser paru-paru tahun ini, Mohamad Bistawi bekerja sebagai pembuat pasu di Gunung Keriang dengan pendapatan sekitar RM500 sebulan.
Walaupun pendapatannya tidak seberapa, wang tersebut digunakan untuk membesarkan Siti Nurdiana sehingga berjaya melanjutkan pengajian ke UPNM.
“Masa ayah sihat, dia hanya bekerja sebagai pembuat pasu di Gunung Keriang dengan pendapatan sekitar RM500.
“Dengan wang itulah dia berjaya membesarkan saya hingga saya berjaya sekarang, Insya-Allah, kalau keadaan ayah makin baik, saya akan sambung pengajian di semester tiga.
“Ayah disahkan menghidap kanser paru-paru tahun ini dan mendapat rawatan di Hospital Alor Setar,” katanya.
Dalam pada itu, Siti Nurdiana turut mendedahkan dia pernah bekerja sambilan di sebuah hotel di Kuala Lumpur bagi menampung perbelanjaan sepanjang pengajiannya di UPNM.
Menurutnya, dia tidak mahu terlalu membebankan bapanya yang ketika itu hanya bergantung kepada pendapatan sebagai pembuat pasu.
Kini, wang simpanan hasil kerja sambilan tersebut turut digunakan untuk membeli keperluan harian bapanya termasuk lampin pakai buang dan makanan.
“Ayah pakai lampin pakai buang dan perlu dua atau tiga kali sehari. Saya gunakan duit simpanan ketika bekerja sambilan sebelum ini untuk beli lampin ayah serta barangan makanan,” katanya.
Siti Nurdiana yang sedang mengikuti jurusan Pengurusan Rantaian Bekalan dan Logistik, Fakulti Pengurusan dan Pengajian itu bagaimanapun tidak menganggap penjagaan bapanya sebagai satu beban.
Sebaliknya, dia mahu menggunakan peluang yang ada untuk berbakti kepada insan yang telah banyak berkorban demi dirinya sejak kecil.
Katanya, dia tidak akan mensia-siakan peluang menjaga bapanya selagi hayat bapanya itu masih ada.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Metro Online