Dalam Negara

Atlet Pecut Remaja Negara Raih ‘Straight A’ Dalam SPM 2025! Izzatul Musfirah Terus Bersinar

Share

Pelari pecut remaja negara, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira baru-baru ini mencuri perhatian selepas berjaya meraih keputusan membanggakan apabila memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Memetik laporan Astro Arena, atlet muda kelahiran Terengganu itu merupakan antara 13,779 calon yang berjaya memperoleh keputusan 9A dalam semua mata pelajaran, sekaligus membuktikan keupayaannya mengimbangi kecemerlangan dalam bidang akademik dan sukan.

Lebih membanggakan, Izzatul yang juga merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Abdul Rahman Limbong, Kuala Terengganu turut difahamkan sedang mengintai peluang untuk melanjutkan pengajian ke luar negara sebagai langkah seterusnya dalam mengembangkan potensi diri, sama ada dalam bidang akademik mahupun sukan.

BACA: Pelajar Hidap Spina Bifida Raih 10A Dalam SPM 2025! Huda Rasheeda Buktikan Kekurangan Bukan Halangan

Sekiranya perancangan tersebut menjadi kenyataan, beliau berpotensi untuk mengikut jejak langkah pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi yang sebelum ini memperoleh 6A dalam SPM 2021.

Kejayaan tersebut telah membuka peluang kepada Azeem untuk menerima tawaran biasiswa dan seterusnya menyambung pengajian di Universiti Auburn, Amerika Syarikat, sekaligus mengukuhkan kariernya dalam arena olahraga antarabangsa.

BACA: SPM 2025: Pengorbanan Bapa Terbalas, Pelajar ‘Cerebral Palsy’ Ini Raih Keputusan Cemerlang 8A!

Sebelum ini, nama Izzatul Musfirah mula mencetus sensasi apabila berjaya memecahkan empat rekod dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 kategori Bawah 18 Tahun (B-18) di Perlis, selain meraih empat pingat emas dalam temasya tersebut.

Atlet pecut muda negara itu terus membuktikan potensinya sebagai bintang masa depan apabila pernah mencipta sejarah di Kejohanan Olahraga MSSM ke-65 dengan menggondol empat pingat emas serta memecahkan rekod dalam kesemua acara yang disertainya, sekaligus mengukuhkan statusnya sebagai antara permata dan penerus legasi olahraga negara.

Sumber: Astro Arena

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE