
Apabila empati hilang, remaja biadab beri gelandangan nasi tulang ayam semata-mata untuk dijadikan bahan jenaka di media sosial. Inilah realiti pahit yang sedang berlaku dalam kalangan segelintir anak muda hari ini — terlalu mengejar perhatian sehingga hilang nilai kemanusiaan.
Baru-baru ini, tular sebuah video pendek memaparkan sekumpulan remaja lelaki yang memberi bungkusan nasi berisi tulang ayam goreng kepada seorang lelaki gelandangan. Klip tersebut yang berdurasi kurang seminit menunjukkan mereka menikmati ayam goreng dari restoran makanan segera, sebelum memasukkan sisa tulang ke dalam bungkusan nasi dan menyerahkannya kepada gelandangan itu. Lebih menyayat hati, mangsa yang tidak tahu-menahu diperlakukan begitu tetap mengucapkan terima kasih kepada mereka.
Konten Murahan, Hina Golongan Terpinggir
Apa yang lebih mengejutkan dan menjijikkan, di hujung video berkenaan, remaja tersebut merakam pula aksi memberi ayam goreng sebenar kepada seekor anjing dengan kapsyen sinis: “Kita perlu belajar membuat kerja kebajikan untuk membantu orang lain.” Walaupun video tersebut telah dipadamkan, ia telah pun tersebar luas dan mengundang kecaman hebat daripada netizen.
Ramai menyifatkan perbuatan itu bukan sahaja tidak beradab, malah jelas menunjukkan sikap menghina golongan miskin dan tidak bernasib baik. Lebih menyedihkan, semuanya dilakukan demi konten — demi tontonan dan ‘likes’ di media sosial.
Pendakwah Tampil Tegur, Ingatkan Nilai Islam
Pendakwah terkenal, Firdaus Wong Wai Hung turut mengecam keras tindakan remaja berkenaan. Menurut beliau, perbuatan itu adalah satu bentuk penghinaan terhadap insan yang memerlukan, dan langsung tidak mencerminkan ajaran Islam.
“Selepas ini minta maaf, selesai. Inilah yang berlaku apabila menyalahgunakan akal yang ALLAH SWT kurniakan demi konten. Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menghina orang miskin, tetapi Islam mengajarkan umatnya untuk membantu orang miskin,” tegasnya.
Firdaus yang juga Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM) turut menyeru agar orang ramai tidak menyalahkan mana-mana kaum secara umum kerana ini adalah tindakan individu, bukan mewakili sesebuah bangsa.
Bila Remaja Hilang Rasa Ihsan
Kejadian ini memberi gambaran jelas bagaimana segelintir remaja hari ini hilang arah dalam memahami erti sebenar belas ihsan dan hormat terhadap sesama manusia. Dalam dunia digital yang pantas ini, empati bukan lagi keutamaan — yang penting ialah siapa lebih viral, siapa lebih ‘trending’.
Sebagai remaja, kita perlu sedar bahawa setiap tindakan mencerminkan nilai diri. Gelandangan bukan bahan eksperimen atau jenaka. Mereka manusia seperti kita, yang sedang melalui fasa sukar dalam hidup. Jika tidak mampu membantu, jangan pula kita menjadi penyebab luka mereka bertambah parah.
Gunakan Media Sosial Dengan Bijak
Platform digital bukan medan untuk menghina, sebaliknya ruang untuk menyebarkan kebaikan. Jadilah remaja yang bijak membezakan antara konten yang membina dan yang menjatuhkan maruah orang lain. Hentikan budaya memperlekeh dan mengejek orang susah demi populariti.
Kejadian remaja biadab beri nasi tulang ayam kepada gelandangan ini seharusnya membuka mata semua pihak. Nilai empati dan rasa hormat perlu dipupuk sejak dari bangku sekolah lagi. Bukan semua konten layak dijadikan hiburan, lebih-lebih lagi jika melibatkan penghinaan terhadap insan lain.
Remaja yang beradab bukan hanya celik teknologi, tetapi juga celik hati. Kembalilah kepada nilai murni bantu jika mampu, hormat jika tak mampu bantu. Itulah erti menjadi manusia sebenar.
BACA LAGI : Remaja 19 Tahun Ini Tak Malu Buat Kerja Bersihkan Longkang Demi Rezeki Halal
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.